PRN Sabah - SPR Umum Keputusan Penuh, 66 Peratus Keluar Mengundi | Malaysia Top News
October 31, 2020

PRN Sabah – SPR umum keputusan penuh, 66 peratus keluar mengundi

KOTA KINABALU – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh sebentar tadi mengumumkan keputusan penuh kesemua 73 kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Beliau berkata, Parti Warisan Sabah (Warisan) memperoleh 29 kerusi, selain Perikatan Nasional (PN) 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) 14 kerusi, Parti Bersatu Sabah (PBS) tujuh kerusi, Bebas tiga kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua kerusi dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) satu kerusi.

“Jumlah keseluruhan DUN yang terlibat adalah sebanyak 73 DUN,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini sebentar tadi.

Abdul Ghani berkata, seramai 749,083 orang atau 66.61 peratus telah mengundi pada PRN kali ini meliputi pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai peratusan sasaran keluar mengundi, beliau berkata, angka itu dilihat satu pencapaian yang baik ketika sedang menghadapi pandemik Covid-19.

“Ini satu pencapaian yang baik dalam keadaan wabak yang sedang melanda di zon merah terutama di kawasan Lahad Datu, Tawau, Sandakan dan Semporna.

“Cuma sasaran awal pada peringkat awal ini kita menjangkakan Covid-19 ini tidak begitu cepat bilangannya. Sebab itu kita mensasarkan 75 peratus, kemudian setelah kita lihat pada keadaan semasa kita turunkan 70 peratus dan hari ini pencapaian kita 66.6 peratus. Jadi bagi saya ini pencapaian yang baik,” katanya.

Terdahulu, beliau turut memaklumkan bahawa SPR mengalami masalah teknikal pada sistem selama 25 minit sebelum dapat membuat pengumuman keputusan penuh sebentar tadi. [SH]

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •