PRN Sarawak - Abang Johari Angkat Sumpah Ketua Menteri Sarawak Ke-7 | Malaysia News

PRN Sarawak – Abang Johari angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak ke-7

Abang Johari Tun Openg

PRN Sarawak – Abang Johari angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak ke-7

MTN – Tan Sri Abang Johari Tun Openg malam ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak ketujuh, selepas Gabungan Parti Sarawak (GPS) kembali diberi mandat untuk mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12.

Istiadat Angkat Sumpah Pengerusi GPS itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di Balai Mengadap Utama, Astana Negeri, di sini.

Abang Johari, 71, yang lengkap berbaju Melayu hitam dan bersongkok mengangkat sumpah jawatan pada pukul 10.42 malam.

Beliau sebelum itu tiba di Astana Negeri pada pukul 10.04 malam diiringi isteri, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Turut hadir pada Istiadat Angkat Sumpah ialah dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dan Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Setakat 8.45 malam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan GPS memenangi 45 daripada 82 kerusi pada PRN12 Sarawak.

Abang Johari menang dengan majoriti 3,607 undi di kerusi DUN Gedong, meninggalkan jauh tiga pencabarnya.

Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sharbini hanya memperoleh 703 undi; Tomson Ango daripada Parti Bumi Kenyalang (157), manakala calon Amanah Kamal Bujang mendapat 94 undi.

Sebelum ini beliau merupakan ADUN Satok selama sembilan penggal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu merupakan anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak pertama, Tun Abang Openg.

Pada 13 Januari 2017, beliau yang lebih dikenali sebagai Abang Jo dilantik sebagai Ketua Menteri bagi menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Abang Johari yang dilahirkan di Limbang berkelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti United Kingdom. [AA]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply