Rumah Terbuka Malaysia MADANI Di Kedah Meriah, Lebih 25,000 Pengunjung | Malaysia News

Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Kedah meriah, lebih 25,000 pengunjung

PM Anwar Ibrahim Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Kedah

Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Kedah meriah, lebih 25,000 pengunjung

Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI di Kedah bukan kempen politik malah berjaya meredakan suhu kebencian politik dalam kalangan rakyat, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

PM Anwar Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Kedah

Beliau yang hadir pada program berkenaan yang diadakan di Hotel Raia, Alor Setar berkata rakyat yang hadir juga bersalaman dan berswafoto tanpa mengira darjat dan bergaul mesra tanpa mengira parti dan kecenderungan politik, agama dan kaum, serta kaya atau miskin.

Mohammad Agus menegaskan tidak ada pun pengunjung yang kisah tentang dakwaan rumah terbuka itu membazir, menggunakan duit rakyat dan sebagai kempen pilihan raya.

“Majlis ini bukan program VVIP, bukan program kempen politik, tetapi majlis meraikan rakyat, dari rakyat dan untuk rakyat.

“Melihat kemeriahan majlis ini, saya tegaskan majlis tadi bukan pembaziran. Mana mungkin amalan mulia memberi makan dan menyantuni rakyat marhaen satu pembaziran. Lagi mulia kerana ia menyambung silaturrahim sesama insan, hanya setahun sekali,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata rumah terbuka berkenaan yang menyaksikan kehadiran ribuan pengunjung adalah bukti kejayaan penganjuran program terbabit oleh Kerajaan Perpaduan sekali gus merupakan promosi terbaik bagi negeri Kedah.

Capai sasaran lebih 25,000 pengunjung

Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI yang diadakan di Hotel Raia, di sini hari ini berjaya mencapai sasaran lebih 25,000 pengunjung, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

PM Anwar Ibrahim Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Kedah

Beliau berkata hidangan makanan di 60 gerai yang disediakan juga hampir habis walaupun majlis belum berakhir lagi.

“Saya sempat buat tiga pusingan untuk melihat sendiri majlis, saya yakin sasaran 25,000 kehadiran pengunjung berjaya dicapai dalam tempoh empat jam dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir hari ini.

“Majlis rumah terbuka di Kedah ini merupakan program utama Perdana Menteri walaupun ia akan diadakan di lima lagi negeri yang lain dan ingin saya nyatakan bahawa tidak berlaku pembaziran kerana semua makanan seperti mi goreng, sate dan lemang habis,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikan ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI di sini, hari ini yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan menteri kabinet yang lain.

Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Sementara itu Saifuddin berkata kehadiran Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengiringi keberangkatan Sultan Sallehuddin turut dapat menguatkan semangat ukhwah dan muhibah walaupun berlainan fahaman politik.

“Ini menunjukkan kematangan orang politik untuk mengenepikan sebarang sentimen dan perbedaan dari segi politik.. pemimpin-pemimpin politik yang berbeda haluan ini boleh berada di platform yang sama seumpama merayakan Aidilfitri ini,” katanya.

Sementara itu Saifuddin Nasution berkata jumlah peruntukan untuk Kedah yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan membuktikan bahawa kerajaan Pusat tidak memandang sepi terhadap kerajaan negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

“Kerajaan Persekutuan telah umum, peruntukan dalam projek baharu atau projek yang bersambung (untuk Kedah), nilainya adalah berjumlah RM1.6 bilion.. ini bukan projek dalam perancangan tetapi ini adalah bajet yang telah diluluskan meliputi 442 projek Persekutuan di negeri (ini).

“Ia terdiri daripada 136 projek baharu manakala 306 adalah projek sambungan.. jadi sekali lagi Perdana Menteri betul-betul menterjemahkan prinsip ini kepada masyarakat dan ia tidak langsung membedakan negeri yang tidak diterajui Kerajaan Perpaduan, tetap menerima peruntukan yang besar,” katanya.

Sanusi Md Nor Hadir, Jemput secara tak rasmi pun tak apa

Kehadiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hadir Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri mencuri tumpuan.

PM Anwar - Sultan Kedah - Sanusi Md Nor

Muhammad Sanusi yang tiba pada jam 10.40 pagi mengiringi Sultan Sallehuddin disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memeriahkan sambutan Aidilfitri bersama rakyat di pekarangan Hotel Raia pada Sabtu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu dilihat ceria dan turut beramah mesra dengan kepimpinan peringkat Pusat dan negeri.

Sanusi yang juga pemimpin kanan PAS itu berkata setakat ini jemputan daripada kerajaan pusat untuk menghadiri rumah terbuka – yang dipertikaikan PN itu – hanya dihantar ke pejabat Sultan Kedah di Wisma Darul Aman.

Menegaskan dia akan hadir jika mendapat jemputan kerana itu adalah protokol, Sanusi berkata, dia juga akan menyertai majlis itu jika Sultan Kedah berkenan untuk hadir sama.

“Saya ucap terima kasih kerana pilih Kedah sebagai destinasi pertama. Mungkin kemeriahan Syawal masih terasa dan saya harap ramai orang hadir.

“Jemputan rasmi (untuk saya) tak ada tetapi dari segi protokol sepatutnya perlu ada jemputan. Kalau nak jemput secara tak rasmi pun tak ada masalah.

Muhammad Sanusi ketika ditanya mengenai penganjuran Rumah Terbuka Malaysia enggan mengulas lanjut dan hanya melambai kepada media yang ingin mendapatkan kenyataan beliau.

“Hari ini hari aman,” kata Muhammad Sanusi dengan senyuman sebelum meninggalkan majlis.

Muhammad Sanusi sebelum ini menyifatkan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di enam negeri sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan kerana melibatkan kos tinggi sedangkan kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan langkah penjimatan.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Perdana Menteri dan Jemaah Menteri diadakan bermula di Kedah, Kelantan dan Terengganu, selain Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. [AA]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply