Saham Azam Baki - Apakah Siasatan Dalam Keadaan Wajar Dan Meyakinkan? | Malaysia News

Saham Azam Baki – Apakah siasatan dalam keadaan wajar dan meyakinkan?

Gobind Singh Deo - Idrus Harun - Azam Baki

Saham Azam Baki – Apakah siasatan dalam keadaan wajar dan meyakinkan?

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo mendesak Peguam Negara Idrus Harun menyatakan pendiriannya sama ada akan wujud kompromi atau tidak dalam penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang dilihat menyiasat satu sama lain.

Desakan itu dibuat ekoran timbulnya skandal yang menyelubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berhubung pemilikan saham yang hangat diperkatakan.

Kata Gobind, pada 6 Jan lalu SC dilaporkan akan berhubung dengan Azam tentang perkara tersebut, dan lima hari kemudian SPRM pula dilaporkan menerima aduan salah laku berkenaan “individu tertentu dalam pengurusan tinggi dan lembaga pengarah SC”.

Kata Gobind, Idrus haruslah menjelaskan bagaimana SPRM dan SC boleh menyiasat dengan betul antara satu sama lain terutamanya apabila ia melibatkan pegawai tertinggi di kedua-dua institusi yang diadukan.

“Kelihatan seolah-olah SC dan SPRM sedang menyiasat individu dalam institusi itu antara satu sama lain pada ketika ini.

“Peguam Negara mesti menyatakan sama ada wujud konflik atau tidak, serta kemungkinan siasatan akan dikompromikan, atau dilihat sebagai dikompromikan di dalam keadaan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azam mendapat perhatian ekoran pemilikan 1,930,000 dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada April 30, 2015 bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu – berkurangan kepada 1,029,500 setakat 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 pada waktu itu.

Nak tahu pandangan AG

Dia turut memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016. Pada masa itu, Azam merupakan pengarah bahagian siasatan SPRM.

Ia mengundang pertikaian, antaranya daripada aspek konflik kepentingan.

Azam disiasat SC selepas dia mengaku akaun dagangnya digunakan adiknya, Nasir, bagi memperoleh saham berkenaan, namun menafikan sebarang salah laku. Ekoran itu, banyak pihak mendesak Azam bercuti sementara atau berundur bagi memberi ruang siasatan dijalankan.

Tidak lama kemudian, SPRM pula dilaporkan menerima aduan salah laku melibatkan pegawai tinggi SC, dan dikatakan dalam peringkat kajian aduan sebelum siasatan lanjut.

Kata Gobid, memandangkan Azam masih kekal sebagai ketua SPRM, maka dia masih bertanggungjawab atas arahan, kawalan dan penyeliaan semua perkara yang berkaitan dengan suruhanjaya itu – seperti termaktub dalam Seksyen 5 Akta SPRM.

Pada masa sama, dia mempersoalkan apakah individu yang terlibat dalam laporan salah laku SC masih dapat menentukan bagaimana siasatan dijalankan di suruhanjaya itu, memandangkan ia dilaporkan membabitkan “individu dalam pengurusan tinggi dan lembaga pengarah dalam SC”.

Adakah Peguam Negara berpendapat bahawa siasatan dalam keadaan sedemikian adalah wajar dan meyakinkan?

“Dia mesti juga menerima bahawa sekiranya sesuatu kes diteruskan ke mahkamah sebagai akibat daripada penyiasatan ini, isu yang berkaitan dengan konflik dan kompromi juga boleh timbul yang mungkin ada kesan terhadap perbicaraan itu.

“Peguam Negara mesti bersuara dan menjelaskan perihal ini. Adakah ini wajar dan jika tidak apa yang telah beliau lakukan berurusan dengannya?” soal Gobind lagi.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply