Speaker, kerajaan PN jangan derhaka Agong – PH

Speaker, kerajaan PN jangan derhaka Agong – PH
MTN – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Harun dan kerajaan Perikatan Nasional agar tidak derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenaan pembukaan sidang parlimen.
Ini selepas Azhar pada 15 Julai lalu menyatakan persidangan Dewan Rakyat pada 26 Julai hingga 2 Ogos hanyalah persidangan khas bagi mendengar penerangan menteri tanpa ada perbahasan oleh ahli-ahli Parlimen.
“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2021 telah menzahirkan titah pandangan bahawa sidang parlimen perlu diadakan segera supaya ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19.
“Seri Paduka Baginda telah menitahkan pandangan yang sama pada 24 Februari dan 29 Jun 2021
“Oleh itu, Pakatan Harapan mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan kerajaan Perikatan Nasional agak tidak derhaka terhadap titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan terus membuka ruang perbahasan serta diputuskan bagi membolehkan parlimen berfungsi semula secara normal dan Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh menunaikan tanggungjawab murni mereka membela hak rakyat,” kata Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada 12 Julai lalu telah menghantar usul kepada Azhar untuk membahaskan perkara-perkara yang digesa Tuanku di parlimen.
“Tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan oleh Pakatan Harapan yang mahu tumpuan diberikan hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi,” jelasnya.
Sidang parlimen khas pada 26 Julai dikritik pelbagai pihak termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan ia dilakukan secara “olok-olok”, sebagai respons terhadap desakan Yang di-Pertuan Agong.
Azhar sebelum ini berkata sidang penuh Dewan Rakyat akan diadakan pada 6 Sept. [MK]
Author Profile

Latest entries
Seni & HiburanApril 24, 2025Treler filem Keluang Man, tambah keterujaan peminat
InternationalApril 22, 2025PM Thailand gesa kerjasama pelbagai hala tangani cabaran rentas sempadan
IT & Social MediaApril 21, 2025Semua video YouTube akan dialih bahasa secara automatik
NationalApril 16, 2025Malaysia promosi kempen pelancongan 2026 dengan Indonesia