Speaker - Selama 800 Tahun Tak Pernah Jadi Macam Ini | Malaysia News

Speaker – Selama 800 Tahun Tak Pernah Jadi Macam Ini

Speaker – Selama 800 Tahun Tak Pernah Jadi Macam Ini

Mohamad Ariff Md Yusof menyifatkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menyingkirkannya sebagai speaker Dewan Rakyat sebagai tidak pernah berlaku di mana-mana negara sebelum ini.

“Apa yang berlaku sekarang di luar pada biasa dan saya tak tahu sama ada terdapat negeri-negeri lain melainkan Trinidad dan Tobago yang melakukan perkara sebegini.

“Trinidad usir speaker pada 1990-an sebab speaker itu lakukan kesalahan rasuah.

“Tapi tidak ada apa-apa contoh lain selama 800 tahun tak pernah seorang speaker diusir sebelum tamat tempoh satu-satunya parlimen,” katanya dalam sidang media di parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Ariff berkata beliau menerima keputusan pengguguran itu dan menegaskan beliau tidak ada masalah untuk berundur.

“Saya sendiri tidak ada masalah sikit pun. Sejak dari awal lagi saya sudah beritahu saya akan keluar jika Perlembagaan Persekutuan dipatuhi.

“Ia telah dipatuhi iaitu terdapat usul dan undian dah diambil.

“Jadi akhir kata ahli-ahli parlimen yang putuskan. Bukan perdana menteri atau kabinet. Inilah sistem Perlembagaan Persekutuan kita,” katanya lagi.

Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk menggugurkan Mohamad Ariff sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 ahli parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Mengumumkan keputusan undi berkenaan, timbalan speaker Mohd Rashid Hasnon juga berkata seorang ahli parlimen tidak hadir.

Usul itu dicadangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan speaker.

Perdana Menteri dijadual membawa usul mencadangkan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan @ Harun dipilih menjadi speaker mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat selepas ini. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply