Terdapat Cara Lain Untuk Menguruskan Lembaga TH - Anwar | Malaysia News

Terdapat cara lain untuk menguruskan Lembaga TH – Anwar

Anwar Ibrahim

Terdapat cara lain untuk menguruskan Lembaga TH – Anwar

MTN – Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, menegaskan terdapat cara lain untuk menguruskan Lembaga Tabung Haji (TH) daripada dikawal selia secara langsung oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Anwar berkata, sebenarnya isu TH itu boleh diselesaikan dengan menempatkan seorang wakil Kementerian Kewangan dalam kalangan ahli lembaga pengarah institusi terbabit.

Katanya pegawai berkenaan perlu ada dalam badan tersebut untuk tujuan semak dan imbang terhadap semua keputusan dilakukan pengurusan TH.

“TH mempunyai rekod yang baik selama puluhan tahun dan berdasarkan pengalaman saya, ia boleh diurus dengan syarat lantik kalangan yang berwibawa seperti yang pernah berlaku dahulu, (apabila) ada wakil-wakil kementerian yang cukup cekap dan bertanggungjawab dalam lembaga (pengarah TH).

“Walaupun dia seorang, tetapi kenyataan, pandangan dan sanggahan dia ada memberi kesan,” katanya dalam satu sidang media di Facebook hari ini.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas cadangan kerajaan mahu meletakkan TH dibawah pengurusan BNM bagi menambah baik pengurusan dan operasi badan itu secara menyeluruh.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Jelas Tengku Zafrul, keputusan itu dibuat bagi melindungi kepentingan pendeposit dan memperkasakan kedudukan kewangan TH dalam memenuhi mandatnya selaras dengan amalan piawaian tadbir urus yang baik.

Menurut Anwar lantikan wakil Kementerian Kewangan dalam Lembaga Pengarah TH pernah dibuat sebelum ini iaitu ketika dia menjawat jawatan menteri kewangan.

Ketika itu kata presiden PKR berkenaan terdapat seorang menteri – yang tidak dinamakan – cuba melakukan pelanggaran peraturan dalam TH membabitkan kepentingan peribadi diri dan keluarganya.

“Dan bila saya dapat laporan, saya bersetuju dengan pegawai yang mewakili kementerian kewangan (yang tidak bersetuju dengan menteri terbabit).

“Kebetulan pada ketika itu ketua audit (negara) ada menyatakaan terdapat pelanggaran atau percanggahan kepentingan kalau diluluskan.

“Itu sejarahnya. Maknanya boleh dibetulkan, pertama dengan wakil kementerian kewangan yang kuat dalam lembaga pengarah TH dan pengurusan yang cekap dan boleh menjalankan tugas menyelamatkan dana TH,” katanya.

Dia juga sekali lagi menekankan bahawa sembilan juta pendeposit kini dalam bahaya jika institusi terbabit dikawal selia oleh BNM.

Pada masa sama Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata pengurusan TH juga harus cekap dan tidak mengizinkan orang politik untuk campur tangan dalam urusan dana umat Islam itu.

“Jadi tidak perlu sama sekali BNM mengalih tugas kerana terlalu banyak urusan BNM yang tak dikendalikan, moratorium pun belum selesai.

“Jangan bebankan BNM ini dengan hal-hal yang mungkin akan menjejaskan kepentingan umat dan TH,” katanya. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply