Tiada Yang Dapat Halang MP PH Ke Parlimen Isnin Ini | Malaysia News

Tiada yang dapat halang MP PH ke Parlimen Isnin ini

Tiada yang dapat halang MP PH ke Parlimen Isnin ini

Tiada yang dapat halang MP PH ke Parlimen Isnin ini

Kuala Lumpur, MTN – Tiada yang dapat menghalang ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk hadir ke Parlimen Isnin ini meskipun persidangan ditangguhkan, kata gabungan itu.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden Harapan berkata tidak ada yang dapat menghentikan ahli parlimen daripada melaksanakan tugas mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan sebelum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penangguhan persidangan parlimen Isnin ini.

“Walau apapun yang berlaku, ahli-ahli Parlimen tidak boleh dihalang dari hadir ke Parlimen pada hari Isnin ini untuk melaksana tugas dan tanggungjawab kami kepada Rakyat dan Negara, serta melaksana sumpah yang telah kami angkat iaitu untuk memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Kenyataan itu turut menjangkakan Muhyiddin akan menggunakan isu Covid-19 sebagai alasan untuk menutup Parlimen.

Bagaimanapun Majlis Presiden PH berkata, isu jangkitan Covid-19 tidak patut dijadikan alasan untuk menutup atau menangguhkan sidang parlimen.

Menurut mereka, 11 kes Covid-19 yang dikesan di parlimen pada Khamis lalu dan kadar positif di parlimen hanya berjumlah 0.9 peratus – jauh di bawah nilai ambang 5 peratus yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Ini bermaksud tidak ada jumlah kes positif Covi-19 yang signifikan di Parlimen sepanjang minggu lalu.

“Jika Parlimen ditutup dengan hanya dengan kadar kurang daripada 1 peratus, Parlimen berkemungkinan besar tidak akan bersidang lagi kerana hakikatnya Covid-19 akan terus berada di dalam masyarakat (endemik) bukan hanya di Malaysia, malah di seluruh dunia,” kata kenyataan itu lagi.

Selain mereka turut mengingatkan Muhyiddin agar tidak menggunakan kementerian dan agensi kerajaan, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk membenarkan penutupan parlimen.

Surat yang dikeluarkan setiausaha Dewan Rakyat kepada ahli parlimen menyatakan penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan.

Penangguhan itu dibuat di tengah kemelut yang didakwa sebagai krisis perlembagaan antara Istana Negara dan kerajaan.

Khamis lepas, Yang di-Pertuan Agong memberikan teguran terhadap kerajaan, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengatakan ordinan darurat telah ditamatkan – walaupun belum mendapat perkenan Agong.

Pejabat Perdana Menteri mempertahankan keputusan itu dengan mengatakan kerajaan bertindak mengikut Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan nasihat kabinet.

Anwar sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin berikutan keputusan itu. [MK]

Kenyataan Media PH - 31 Julai

Kenyataan Media PH 31 Julai

Facebook Comments

Author Profile

Wahyu Basyir
Wahyu Basyir

About The Author

Leave a Reply