Tiga Dokumen Penting Isu LCS Perlu Dinyahklasifikasi Oleh Kerajaan | Malaysia News
Notice: sanitize_url is deprecated since version 2.8.0! Use esc_url_raw() instead. in /home/kulf6423/public_html/malaysiatopnews.com/wp-includes/functions.php on line 4652
September 25, 2022
Mohamad Sabu - Liew Chin Tong

Tiga dokumen penting isu LCS perlu dinyahklasifikasi oleh Kerajaan

Kerajaan digesa nyahklasifikasikan tiga dokumen penting berhubung projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang kembali menjadi kontroversi.

Gesaan itu dibuat oleh Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong yang masing-masing merupakan bekas menteri pertahanan dan bekas timbalan menteri pertahanan.

“Kami menyeru agar Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dan kerajaan membuat keputusan di mesyuarat kabinet pada hari Rabu ini untuk nyahklasifikasikan dokumen-dokumen penting berikut supaya seluruh rakyat Malaysia lebih memahami isu di belakang skandal LCS dan kami dapat bersama mencari jalan penyelesaian.

“Tanpa nyahklasifikasi dokumen-dokumen ini, banyak soalan akan kekal tidak terjawab,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Tiga dokumen yang dipetik Mohamad dan Liew termasuklah “Laporan JKSTUPKK berhubung Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia”.

Laporan itu diterbitkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas ketua audit negara, Ambrin Buang.

Menurut Mohamad dan Liew, laporan itu mempunyai maklumat kewangan yang tidak termasuk dalam laporan PAC.

JKSTUPKK ditubuhkan oleh kerajaan PH pada 30 Mei 2018 di atas gesaan Mohamad ketika menjadi menteri.

Dua dokumen lain yang digesa dinyahklasifikasi ialah laporan pengauditan forensik projek LCS dari tahun 2019 oleh Boustead Naval Shipyard (BNS) dan 10 pucuk surat yang ditulis oleh mantan Panglima Tentera Laut Laksamana Abdul Aziz Jaafar.

“Laporan pengauditan forensik ini amat penting kerana mempunyai butiran tentang pihak yang bertanggungjawab di peringkat operasi projek,” kata Mohamad dan Liew.

Kedua-dua pemimpin PH itu juga menyatakan kekecewaaan kerana teguran dan amaran Abdul Aziz tidak dilayan oleh perdana menteri pada masa itu Najib Razak dan menteri pertahanan ketika itu Ahmad Zahid Hamidi.

“Untuk mendapatkan jalan keluar bagi skandal LCS yang melibatkan berbilion ringgit, kabinet Malaysia perlu segera nyahklasifikasikan dokumen-dokumen ini,” tegas mereka.

Projek LCS kembali menjadi tumpuan selepas hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) didedahkan di parlimen minggu lalu.

PAC mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 Nov 2020 mendapati tiada satu kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.083 bilion memperuntukkan lima kapal seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.

PAC juga mendapati ada banyak kelemahan yang berlaku, termasuk keengganan pihak yang berkenaan menerima pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sebalik hakikat bahawa mereka adalah pengguna akhir LCS tersebut.

Beberapa nama dikaitkan dengan isu berkenaan, termasuk Najib dan Zahid. [MK]

Facebook Comments