Vaksin Sinovac Dibenarkan 'Fill And Finish' Di Malaysia | Malaysia News

Vaksin Sinovac dibenarkan ‘Fill and finish’ di Malaysia

Vaksin Sinovac dibenarkan ‘Fill and finish’ di Malaysia

Kuala Lumpur, MTN – Vaksin COVID-19 Sinovac kini dibenarkan dikilangkan secara ‘fill and finish’ di Malaysia, pertama kali dilaksanakan dalam negara.

Kelulusan ini dijangka meningkatkan bekalan vaksin negara yang sebelum ini bergantung kepada produk vaksin siap yang diimport.

Proses pengilangan daripada produk pukal kepada produk siap itu akan dihasilkan oleh syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd.

Kelulusan tersebut dicapai selepas Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kali ke-356 bersidang hari ini.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pengilangan ‘fill and finish’ vaksin di Malaysia merupakan satu pencapaian terbaharu negara yang selama ini bergantung kepada vaksin yang diimport.

Beliau berharap langkah tersebut dapat memacu pertumbuhan industri farmaseutikal tempatan dalam penghasilan produk-produk tersebut.

“KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan syarikat pemegang pendaftaran produk iaitu Pharmaniaga LifeScience mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa, bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif,” jelas Dr Noor Hisham dalam kenyataannya.

Sementara itu, Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Madya Dr Ghows Azzam berkata, menerusi Twitter, kelulusan itu dijangka meningkatkan bekalan vaksin negara selepas Pharmaniaga menganggarkan sebanyak dua juta dos vaksin mampu dihasilkan secara ‘fill and finish’ setiap bulan.

Ketika dihubungi Astro AWANI, beliau berkata, kelulusan tersebut membenarkan Pharmaniaga untuk menghasilkan 2.6 juta dos vaksin yang sudah berada di negara.

Pada Januari lalu, kerajaan menandatangani perjanjian untuk membeli sebanyak 12 juta dos vaksin yang dibangunkan syarikat China, Sinovac. [AA]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply