Zahid Hamidi Harap Malaysia Bertambah Baik Bawah Pentadbiran PM Anwar Ibrahim | Malaysia News

Zahid Hamidi harap Malaysia bertambah baik bawah pentadbiran PM Anwar Ibrahim

PM Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi - Istana Negara Malaysia

Zahid Hamidi harap Malaysia bertambah baik bawah pentadbiran PM Anwar Ibrahim

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan negara akan bertambah baik di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujarnya, semua pihak juga wajib menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya bekerjasama membangunkan negara serta mengelakkan kemelut politik yang boleh merencatkan ekonomi dan pembangunan negara.

“Ucapan jutaan tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu hari ini menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Meskipun mengambil masa beberapa hari dan diikuti oleh seluruh dunia proses yang berlaku ini, namun kita bersyukur kepada Allah SWT ia berjalan dengan baik tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada jam 5 petang Khamis.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pelantikan tersebut berikutan perkenan Seri Paduka Baginda selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada sebelah pagi hari yang sama.

Anwar dipercayai akan menerajui kerajaan Persekutuan baharu menggabungkan dua parti terbesar iaitu PH dan BN dengan majoriti kerusi Parlimen iaitu 112.

Kemelut penubuhan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri bermula apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu menyaksikan tidak ada gabungan parti mendapat majoriti mudah.

Pada PRU15, PH memenangi sebanyak 82 kerusi Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (73 kerusi), BN (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (22 kerusi), Gabungan Rakyat Sabah (enam kerusi) dan calon Bebas dua kerusi. [SH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply