2 MP Umno Nafi Sokong PN Seperti Didakwa Ismail Sabri | Malaysia News

2 MP Umno Nafi Sokong PN Seperti Didakwa Ismail Sabri

2 MP Umno Nafi Sokong PN Seperti Didakwa Ismail Sabri

Kuala Lumpur, MTN – Dua ahli parlimen Umno menafikan dakwaan mereka termasuk dalam kalangan 31 ahli parlimen BN yang menyokong Perikatan Nasional (PN), seperti didakwa timbalan presidennya Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar berkata dia akan mengundi untuk menolak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam usul undi percaya di sidang Parlimen September depan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling Azeez Abdul Rahim berkata dia akan mengikut keputusan yang telah dibuat Majlis Tertinggi (MT) Umno – iaitu menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Dalam sidang media yang dibuat sebaik selepas pengumuman Ismail, Noh berkata pendiriannya jelas berhubung perkara itu.

“Pendirian saya jelas, saya setuju dan akan mematuhi keputusan dewan tertinggi Umno (MT) untuk menarik sokongan kepada perdana menteri di Parlimen,” katanya.

“Saya mahu menafikan sebarang tuduhan bahawa saya mudah dibeli,” tambahnya.

Sebelum ini, Noh merupakan antara 11 ahli parlimen – termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi – yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan PN.

Bagaimanapun, Ismail hari ini mendakwa Noh dan dua lagi yang bersama Zahid – iaitu Azeez dan Ahli Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria – kini menyokong PN.

Noh dan Azeez menjelaskan mereka memang menyertai mesyuarat ahli parlimen BN pagi ini dan menandatangani kehadiran, tetapi itu tidak bermakna mereka menyokong PN.

Kata Noh, dia bersetuju bahawa kerajaan PN masih sah pada masa ini tetapi hanyalah sehingga undi percaya dibuat di Parlimen.

Malah, Noh berkata dia juga setuju bahawa Zahid harus mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen Umno bagi menjelaskan keputusan tidak menyokong Muhyiddin.

Azeez pula menyatakan pendiriannya dalam satu sidang media berbeza.

Dia berkata keputusan parti terpakai kepada semua ahli. “Saya ahli parti yang taat setia kepada parti,” katanya lagi.[MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply