50,000 Pelajar Bakal Terima Peranti Pintar
50,000 Pelajar Bakal Terima Peranti Pintar
PutraJaya, MTN – Seramai 50,000 pelajar bakal menerima peranti pintar akhir bulan ini di bawah projek perintis pembelajaran digital yang dilancarkan di sekolah terpilih di seluruh negara.
Ia sebahagian daripada inisiatif pembangunan pembelajaran digital jangka panjang dikenali sebagai CERDIK yang mana setakat ini 13,000 komputer dan tablet sudah diedarkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di beberapa negeri.
Yayasan Hasanah dalam kenyataan berkata, lebih 1,000 pelajar sudah menerima peranti mereka dan berdasarkan kapasiti rantaian bekalan semasa, CERDIK menyasarkan sekurang-kurangnya 50,000 pelajar menerima peranti hujung Mei ini.
“Pengedaran baki 100,000 peranti pintar lagi dijangka selesai akhir September ini. Program perintis ini dibiayai penuh oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan penderma korporat, yang mana setiap pihak perlu melalui proses kawal selia masing-masing,” kata kenyataan itu hari ini.
CERDIK adalah inisiatif jangka panjang yang menyediakan akses digital untuk pendidikan dan merangkumi dua komponen utama, iaitu akses kepada peranti dan kesalinghubungan data.
Ia menjadi kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan (KPM), yang bertujuan merapatkan jurang pembelajaran digital bagi sekolah rendah dan menengah di Malaysia.
Program itu akan meneroka model pembelajaran digital untuk diguna pakai pada masa hadapan dan bukan sekadar inisiatif sumbangan peranti untuk jangka pendek.
Semua peranti pintar diedarkan kepada pelajar telah disahkan sebagai model terkini dengan kapasiti mencukupi untuk naik taraf perisian bagi menyokong pembelajaran akademik di sekolah selama sekurang-kurangnya tiga tahun.
“Selain itu, pengesahan kualiti, fungsi dan keselamatan setiap alat juga perlu dipastikan untuk mencegah atau meminimumkan sebarang isu atau gangguan dalam pembelajaran kelak,” kata yayasan itu.
Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata CERDIK adalah program perintis pembelajaran digital dan ia dilaksanakan tepat pada masanya ketika pendigitalan kian pantas berkembang dalam semua aspek kehidupan.
“Malah, transformasi digital telah menjadi keperluan dalam era moden ini. Seperti yang kita dapat lihat, krisis COVID-19 jelas membuktikan bahawa pendigitalan adalah sangat diperlukan. Di serata dunia, pembelajaran maya misalnya, sangat penting untuk memastikan persekolahan tidak terjejas dan pendidikan dapat diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata COVID-19 memesatkan penggunaan digital orang ramai dan pembelajaran jarak jauh semakin menjadi satu kebiasaan.
“Program CERDIK diperkenalkan untuk merapatkan jurang sosio-ekonomi dengan memudahkan pembelajaran digital untuk golongan berpendapatan rendah. Program perintis ini membolehkan pembelajaran digital yang perlu dijadikan komponen asas dalam pendidikan anak-anak kita jika kita ingin meraih manfaat ekonomi melalui Revolusi Industri Keempat,” katanya. [BH]