Maruah Parlimen Kini Tergantung Pada Pemuka-pemuka Yang Tidak Punya Mandat | Malaysia News

Maruah Parlimen kini tergantung pada pemuka-pemuka yang tidak punya mandat

Anwar Ibrahim

Maruah Parlimen kini tergantung pada pemuka-pemuka yang tidak punya mandat

Kual Lumpur, MTN – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kenyataan terbaharu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengenai sidang Parlimen, menampakkan ketidakarifan beliau terhadap prinsip asas demokrasi.

“Menteri tersebut menyatakan kerajaan PN sedang memberi ‘keutamaan’ penuh pada usaha mengekang penularan wabak dan akan terus menutup Parlimen.

“Kononnya dengan penutupan Parlimen sangat penting dalam usaha melawan wabak, tetapi keadaan makin parah.

Kedudukan dan maruah Parlimen kini tergantung pada pemuka-pemuka yang tidak punya mandat sama sekali, dan ini jelas menunjukkan bahawa aspek semak imbang yang dijamin Perlembagaan ini terus dinodai dengan rakus,” dakwa Ketua Pembangkang itu dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Ujar Presiden PKR itu lagi, demokrasi mesti ditegakkan walaupun negara berhadapan masalah, justeru suara rakyat tidak boleh dipadam oleh mana-mana pihak termasuk pemimpin dan menteri.

“Kenyataan bijaksana YDPA (Yang di-Pertuan Agong) bertarikh 26 Februari yang lalu bahawa kuasa darurat yang diperuntukkan pada kerajaan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak sesi Parlimen.

“Kuasa dan undang-undang yang diperuntukkan darurat setakat ini tidak memberi dampak yang positif dalam usaha kita melawan wabak.

“Sebaliknya, ianya digunakan untuk membungkam wartawan dan media, serta memberi kuasa pada kerajaan ini untuk menggunakan dana awam tanpa hormat pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban pada Parlimen,” tambahnya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memberi contoh penggunaan hampir 50 peratus dana dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk pemerolehan vaksin.

“Terdapat banyak hujah yang menampakkan pemerintah hari ini sedang meminjam dan berbelanja tanpa semak imbang.

“Ini menjadi sebab ampuh mengapa Parlimen sebagai fungsi dan institusi yang dijamin Perlembagaan mesti diberi ruang untuk menjalankan amanah rakyat.

“Kita tidak nampak sebarang tanda bahawa darurat ini akan tamat dalam masa terdekat. Dengan peningkatan kes penularan COVID-19 hari ini ianya akan memberi alasan kepada kerajaan PN untuk melanjutkan tempoh darurat melepasi bulan Ogos 2021.

“Saya yakin inilah matlamat sebenar pemerintah, memperpanjang tempoh darurat selama mana yang mungkin meski dengan jumlah jangkitan yang akan terus tinggi,” tambah beliau.

Sebelum ini, Takiyuddin memberi jaminan sidang Parlimen akan segera diadakan apabila tiba masa yang sesuai sama ada sebelum atau selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos depan.

Katanya, tindakan itu bergantung pada nasihat dan pandangan pakar daripada semua pihak terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan negara (MKN).

[AA]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply