Orang Hulu Memang 'Hebak Boh' - Pelajar Malaysia Terbaik ACCA | Malaysia News
May 11, 2021
Nurul Fatin Nabihah Hamdan - Pelajar Malaysia Terbaik ACCA

Orang hulu memang ‘Hebak Boh’ – Pelajar Malaysia Terbaik ACCA

Kuala Berang, MTN – Orang hulu memang ‘hebak boh’ (Orang hulu memang hebat). Demikian ungkapan bangga yang meniti di bibir masyarakat sejak minggu lepas apabila Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, dari Kampung Tengkawang, di sini berjaya menempatkan diri antara 10 terbaik di dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) bagi sesi Mac 2021.

Nurul Fatin Nabihah, anak sulung daripada empat beradik itu mendapat tempat pertama di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi kertas Strategic Business Reporting (SBR).

Menyingkap di sebalik kejayaan tersebut, Nurul Fatin Nabihah yang fasih berbahasa Inggeris berkata beliau bukanlah mempunyai latar belakang keluarga kaya serta berpendidikan tinggi, sebaliknya hanya orang kampung yang mempunyai cita-cita untuk mengubah nasib keluarga.

Saya hanya bersekolah rendah di sini (sekitar Kuala Berang) kemudiannya belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Matang, Kuala Berang sebelum diterima masuk ke Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur pada 2013 hingga 2014.

Mengenangkan perjalanan hidup saya yang kehilangan bapa pada usia 11 tahun, pastinya tidak mudah. Setiap kali mahu berputus asa ketika belajar, ibu akan jadi penguat untuk teruskan… termasuklah ketika berdepan peperiksaan ACCA, katanya kepada pemberita di kediamannya di sini hari ini selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Kuala Berang Datuk Rosol Wahid.

Nurul Fatin Nabihah berkata setelah kematian bapanya, Hamdan Abu pada 2007 akibat serangan jantung, ibunya Noriah Ahmad, 46, terpaksa menjual kuih bagi menampung keperluan keluarga selain memperoleh pencen ilat menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Advertisement

Ketika berusia 13 tahun, ibu Nurul Fatin Nabihah telah berkahwin dengan bapa tiri, Mustape Abu, 65, tetapi ekoran kesihatannya yang tidak begitu baik akhir-akhir ini, Mustape tidak dapat bekerja seperti dulu dan mengalami strok ringan.

Penuntut lepasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menerima tajaan Yayasan Sime Darby itu berkata kejayaan serta ucapan tahniah yang diterimanya dari pelbagai pihak akan dijadikan dorongan untuknya mengejar cita-cita sebagai pensyarah perakaunan.

Saya mahu tambah kemahiran dan penguasaan dalam bidang perakaunan. Sekarang masih ada baki dua peperiksaan ACCA dan perlu belajar secara dalam talian iaitu kertas Strategic Business Leader (SBL) dan Audit (AAA) untuk peperiksaan pada September tahun ini, katanya.

Sementara itu, Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata kejayaan anak tempatan berkenaan amat membanggakan dan wajar dijadikan contoh, apatah lagi Nurul Fatin Nabihah membuktikan bahawa mereka yang tinggal di pendalaman juga hebat di mata dunia.

Beliau tidak menampakkan kesusahan keluarga sebagai penghalang. Meskipun hanya tinggal di Rumah Mesra Rakyat menerusi bantuan kerajaan dan bersekolah di kawasan hulu yang sering dipandang sepi… akhirnya beliau mengalahkan ribuan calon lain di dunia, katanya yang turut menyerahkan komputer riba kepada Nur Fatin Nabihah.

Rosol berkata pihaknya bercadang untuk mengumpulkan semua pelajar pintar di sekitar Hulu Terengganu apabila wabak COVID-19 beransur pulih, bagi melakukan pelbagai program serta menjadikan mereka contoh dan mentor kepada penduduk kampung.
-Bernama

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •