70 Profesor Melayu Pilih Anwar Ibrahim Calon PM - PRU15 | Malaysia News

70 profesor Melayu pilih Anwar Ibrahim calon PM – PRU15

Profesor Datuk Dr Ir Wan Ramli Wan Daud,

70 profesor Melayu pilih Anwar Ibrahim calon PM – PRU15

Kumpulan 70 profesor Melayu dikenali sebagai G70 menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri berdasarkan kredibiliti dan rekod prestasinya yang cemerlang.

Jurucakap Deklarasi Profesor Melayu G70, Profesor Datuk Dr Ir Wan Ramli Wan Daud, berkata Anwar adalah satu-satunya tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk.

“Anwar adalah satu-satunya tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan, selain memulihkan reputasi negara di mata dunia.

“Pakatan Harapan (PH) adalah pilihan terbaik untuk membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi masa kini,” katanya pada deklarasi Profesor Melayu G70, hari ini.

Yang turut hadir, Prof Emeritus Datuk Dr Ir Hassan Basri, Prof Emeritus Dr Abdul Azizi Jemain, Prof Datuk Dr Mohd Redzuan Othman dan Prof Dr Saadiah Mohamad.

Wan Ramli turut menggesa rakyat supaya menolak calon yang menggunakan fitnah bagi meraih sokongan pengundi dan mengeksploitasi sentimen agama serta kaum.

Katanya, rakyat juga perlu menolak calon daripada pakatan politik yang didapati mengkhianati amanah demokrasi dan menyalahgunakan kedudukan politik sebagai medan memenuhi kepentingan diri dan kumpulan.

Beliau berkata, G70 dianggotai golongan akademik dan profesional sejumlah besarnya sudah bersara bagi menangani kemelut politik membabitkan umat Islam negara ini.

“Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah peluang terbaik untuk rakyat mengangkat ketua kerajaan yang berwibawa dan dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Negara sedang berdepan pelbagai isu rumit dan kepincangan masyarakat luar biasa yang belum pernah dihadapi sebelum ini dan boleh memporak-perandakan negara,” katanya.

Wan Ramli berkata, rakyat mesti memilih calon daripada pakatan politik yang memiliki iltizam bagi membina sebuah kerajaan berteraskan prinsip tata kelola yang baik serta bertekad memerangi sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa terhadap kepentingan rakyat dan negara. [BH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply