Ada Kemungkinan Kerajaan PN Jatuh Esok - Dr Mahathir | Malaysia News

Ada kemungkinan kerajaan PN jatuh esok – Dr Mahathir

Ada kemungkinan kerajaan PN jatuh esok – Dr Mahathir

Kuala Lumpur, MTN – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi berdepan kemungkinan akan jatuh sekali lagi jika pengundian kali ketiga Belanjawan 2021 gagal mendapat sokongan majoriti esok, kata Dr Mahathir Mohamad.

Menyatakan hal itu Mahathir berkata ahli parlimen perlu memikirkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan sendiri atau jawatan kerana ketika ini rakyat sudah cukup marah kepada kerajaan.

“Esok, mereka (ahli Parlimen) perlu undi untuk Belanjawan 2021. Jadi ada kemungkinan kerajaan akan hilang undi..jika kerajaan hilang undi kita akan hilang kerajaan seterusnya perlu tubuh kerajaan baharu.

“Apabila tubuh kerajaan baharu kita harap (ahli Parlimen) yang berdedikasi untuk berkhidmat pada negara dan rakyat bukan kerana saya mahu jadi perdana atau menteri,” katanya pada sidang akhbar bersama Ku Li di Yayasan Al Bukhary di sini hari ini.

“Saya harap mereka yang berada di parlimen akan tidak memikirkan diri mereka sendiri, tetapi memikirkan tentang negara.

“Saya harap cadangan kita ini akan tercapai, jika wakil rakyat dalam dewan memberi kepercayaan,” katanya.

Tak payah gaji pun tak apa

Tengku Razaleigh sendiri menganggap kerajaan sekarang tidak mendapat keabsahannya dan Muhyiddin bukan perdana menteri yang memiliki keabsahan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Umno itu sebelum ini menulis kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun untuk memaklumkan dia tidak akan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 selagi keabsahan Muhyiddin dan kerajaan PN tidak dibuktikan.

Tambah Mahathir lagi, dia dan Tengku Razaleigh sedia memberikan khidmat kepada untuk mengembalikan kegemilangan negara dan mereka sedia melakukannya tanpa bergaji.

“Kami berdua tak payah gaji pun tak apa, kerajaan (sudah) bagi banyak duit pencen,” katanya.

Esok adalah hari bacaan kali ketiga Belanjawan 2021. Asalnya pembangkang memberi bayangan untuk menolak usul itu semasa di peringkat dasar namun sebaliknya ia diluluskan dengan mudah ketua pembangkang Anwar Ibrahim mengarahkan tiada usaha mencabarnya dibuat melalui undian belah bahagi.

Belanjawan itu kemudian dijangka dicabar sengit di peringkat jawatankuasa namun setakat ini tiada satu pun yang berjaya digagalkan melalui undi pembangkang.

Mahathir berkata, kerajaan sekarang tidak ada strategi untuk membawa dasar bagi membela rakyat sebaliknya hanya terlibat dengan politik termasuk untuk kepentingan diri sendiri.

“Tak ada satu strategi untuk memulihkan ekonomi negara dan juga untuk menangani masalah Covid-19.

“Kami harap kami akan dapat sokongan bagi menjayakan idea ini,” katanya lagi.

Ditanya tentang jumlah sokongan ahli Parlimen yang telah diperolehinya sehingga kini, Mahathir berkata ia terpulang kepada anggota Dewan Rakyat.

Begitu juga dengan jawatan perdana menteri terserah kepada ahli Parlimen untuk menentukan siapa.

Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh yang pernah dilabel sebagai seteru politik, tampil bersama mengumumkan kesediaan mereka bekerjasama dalam menawarkan pengalaman masing-masing untuk mencapai matlamat berkenaan secara bipartisan di atas platform memajukan negara.

Tengku Razaleigh berkata kerjasama mereka berdua dijalinkan atas dasar prihatin kepada nasib rakyat dan negara.

“Saya berharap perjumpaan kita hari ini akan bermula dengan langkah yang baik, langkah baharu, tidak mementingkan Dr Mahathir atau saya atau sesiapa pun, tetapi mementingkan rakyat lebih daripada segala-galanya,” katanya.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply