Agong Pulang Bersemayam Di Istana Negara Hujung Minggu | Malaysia News
Agong - Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Agong pulang bersemayam di Istana Negara hujung minggu

Kuala Lumpur, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menjalani prosedur intervensi sendi buku lali dan lutut dengan jayanya, pada Isnin lalu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Al-Sultan Abdullah kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan.

“Ekoran daripada prosedur tersebut, baginda selanjutnya dinasihatkan untuk menjalani pemantauan dan pengawasan rapi pakar perubatan.

“Seri Paduka turut dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara pada hujung minggu ini setelah selesai menjalani rawatan pemantauan dan pengawasan rapi tersebut,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Isnin lalu, Istana Negara berkata, Yang di-Pertuan Agong berada dalam keadaan gering di bahagian kaki dan sedang menjalani pemeriksaan serta pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital di ibu negara.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang telah mendoakan kesejahteraan baginda.

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah, selaku Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan, baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas pelancaran Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf yang telah berlangsung, pada Khamis.

“Baginda telah dijadualkan berangkat untuk menyempurnakan majlis pelancaran tersebut tetapi keadaan kesihatan tidak mengizinkan berikutan kegeringan dan menjalani rawatan serta pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital sejak Isnin lalu.

“Walaupun sedang menjalani rawatan, Baginda telah berkenan meluangkan masa menzahirkan Titah Diraja menerusi rakaman video di kamar istirahat di hospital tersebut kelmarin (Rabu) untuk ditayangkan di majlis pelancaran.

“Seri Paduka dalam rakamannya bertitah dan menzahirkan harapan agar inisiatif-inisiatif yang telah dirangka berjaya mencapai sasaran dan hasrat penubuhannya dalam menyemarakkan sinar Islam dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya. [AA]

Facebook Comments