Tempoh Kerja 4 Hari Seminggu, Malaysia Masih Perlu Pertimbang | Malaysia News

Tempoh kerja 4 hari seminggu, Malaysia masih perlu pertimbang

Tempoh kerja 4 hari di Malaysia

Tempoh kerja 4 hari seminggu, Malaysia masih perlu pertimbang

Idea melaksanakan tempoh kerja empat hari seminggu di Malaysia seperti di beberapa negara lain ketika ini, masih memerlukan beberapa pertimbangan yang wajar.

Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Abdul Rahim Zumrah berkata, setiap negara mempunyai sistem pekerjaan yang berbeza.

Justeru katanya, terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan berkaitan idea waktu kerja empat hari seminggu untuk dilaksanakan dalam konteks negara ini.

“Antara pertimbangan yang perlu diambil kira adakah kepentingan atau matlamat organisasi akan terjejas?

“Kita sedia maklum, setiap organisasi khususnya berkaitan keuntungan dan perkhidmatan mempunyai unjuran atau sasaran bulanan serta tahunan.

“Sekiranya pelaksanaan waktu kerja empat hari seminggu tidak menjejaskan unjuran atau sasaran organisasi, maka pelaksanaan waktu kerja empat hari seminggu boleh dianggap sebagai salah satu faedah oleh organisasi kepada pekerja,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau diminta mengulas mengenai sama ada waktu kerja empat hari seminggu sesuai diguna pakai di negara ini.

Ia susulan hasil tinjauan oleh syarikat secara dalam talian, Qualtrics, mendapati sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemarkan fleksibiliti sepanjang empat hari bekerja seminggu.

Abdul Rahim berkata, pertimbangan lain adalah majoriti pekerja di Malaysia sama ada di sektor awam dan swasta dibayar gaji berdasarkan waktu bekerja lima hari seminggu.

Oleh itu, katanya, sekiranya pelaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu dilaksanakan, berkemungkinan besar organisasi akan menstrukturkan semula gaji pekerja kerana mereka hilang lapan jam sehari atau 32 hingga 40 jam sebulan untuk setiap pekerja.

Katanya, kekurangan jumlah jam bekerja secara tidak langsung mempengaruhi kuantiti pengeluaran produk dan produktiviti perkhidmatan organisasi.

“Sekiranya, organisasi sanggup mengekalkan gaji pekerja walau waktu bekerja dipendekkan ke empat hari seminggu, ia satu lagi faedah yang diberikan oleh organisasi,” katanya.

Pertimbangan lain yang perlu difikirkan ialah kesediaan semua sektor untuk melaksanakan idea tersebut memandangkan semua sektor saling berkaitan antara satu sama lain.

Sekiranya cadangan itu ingin dilaksanakan katanya, ia perlu dilakukan secara menyeluruh untuk semua organisasi di Malaysia sama ada sektor awam mahupun swasta.

Abdul Rahim turut berkongsi beberapa faedah yang bakal dinikmati pekerja sekiranya waktu kerja empat hari seminggu dilaksanakan.

“Perkara pertama ialah keseimbangan antara kerja dan kehidupan masyarakat akan meningkat.

“Sektor ekonomi seperti sektor pelancongan, makanan, pengangkutan terutamanya kapal terbang juga menjadi semakin rancak kerana tiga hari waktu rehat mencukupi untuk menjalankan aktiviti bersama keluarga di luar rumah seperti melancong, balik kampung dan lain-lain,” katanya.

Selain itu, katanya, pekerja yang berpendapatan rendah juga berpeluang menjalankan kerja sampingan bagi meningkatkan pendapatan sedia ada. [SH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply