Agong titah cadang kerajaan perpaduan PH-PN, Muhyiddin tolak

Agong titah cadang kerajaan perpaduan PH-PN, Muhyiddin tolak
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendedahkan Yang di-Pertuan Agong mencadangkan gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata dia menolak cadangan itu kerana ia bertentangan dengan pendirian gabungan itu.
“Kami telah bincang sejak awal. Tak akan kerjasama dengan PH. Apa tujuan sekali pun, tak setuju.
“Jadi saya diminta tandatangani surat – saya tanda ‘tak setuju’ untuk kerajaan perpaduan,” katanya pada sidang media di kediamannya di Bukit Damansara petang tadi.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Ketua Penerangan PN Azmin Ali, dan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut hadir.
Pada masa sama, Muhyiddin menegaskan bahawa dia mempunyai akuan berkanun (SD) yang menunjukkan dia mendapat sokongan 115 ahli parlimen untuk menjadi perdana menteri.
Namun, katanya, dia diberitahu oleh istana bahawa ia tidak mencukupi walaupun melepasi majoriti mudah 112 kerusi.
Dia juga menunjukkan surat untuk membuktikan bahawa SD diterima oleh setiausaha sulit kanan Yang di-Pertuan Agong, Nazim Mohd Alim, tepat pada masanya.
“Kami yakin bahawa kami mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
“Namun, dikatakan jumlah kami tidak mencukupi.
“Oleh itu, Agong mencadangkan kita membentuk kerajaan perpaduan dengan PH,” katanya.
Muhyiddin tidak menjawab sebarang soalan daripada media sebelum menamatkan sidang medianya. [MK]
Author Profile

Latest entries
InternationalApril 22, 2025PM Thailand gesa kerjasama pelbagai hala tangani cabaran rentas sempadan
IT & Social MediaApril 21, 2025Semua video YouTube akan dialih bahasa secara automatik
NationalApril 16, 2025Malaysia promosi kempen pelancongan 2026 dengan Indonesia
IT & Social MediaApril 15, 2025Perbicaraan kes antimonopoli terbesar terhadap Meta di Washington