Agong Beri Sedikit Masa Lagi | Malaysia News
Anwar Ibrahim - DSAI

Agong beri sedikit masa lagi

Pencarian perdana menteri ke-10 Malaysia diteruskan, selepas tiada keputusan muktamad dicapai hari ini.

Bercakap kepada pemberita di luar Istana Negara, calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berkata Yang di-Pertuan Agong belum membuat keputusan hari ini.

Anwar turut menyatakan keyakinan dia akan memperoleh majoriti mudah.

“Buat masa ini, tidak timbul persoalan untuk membentuk kerajaan minoriti.

“Kerajaan yang ditubuhkan sepatutnya mewakili semua kaum dan semua wilayah. Ini bermakna inklusif dalam semua aspek.

“Saya bersyukur dan mengalu-alukan semangat kerajaan perpaduan yang kebetulan saya sebutkan semalam.

“Jadi saya telah menerima pandangan baginda untuk memberi kita sedikit masa dan memberi pertimbangan serta kebijaksanaan untuk memutuskan perkara ini,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia adalah perdana menteri sementara, Anwar berkata tiada keputusan setakat ini.

Ditanya mengenai jawatan perdana menteri, Anwar berseloroh:

“Sekarang ada kekosongan dan ia dibuka untuk permohonan. Bagi kami nama yang dikemukakan ialah Anwar Ibrahim.”

Anwar menambah bahawa selepas mengemukakan nama, gabungan itu terbuka untuk meneruskan proses itu dan diberi masa untuk mendapatkan majoriti mudah.

Terdahulu Anwar dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin telah diperkenankan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Muhyiddin kemudian beredar dari Istana Negara tanpa bercakap kepada media.

PH kini mempunyai 82 Ahli Parlimen dan Warisan – yang mempunyai tiga ahli parlimen – berkata ia akan menyokong gabungan PH-BN. Larry Sng dari PBM juga nampaknya cenderung kepada PH.

Bagaimanapun, 30 ahli parlimen BN telah memutuskan untuk kekal berkecuali dan kelihatan bersedia untuk menyokong kerajaan minoriti melalui perjanjian keyakinan dan bekalan (CSA).

Secara teorinya, PH, Warisan, dan PBM – jika digabungkan – membentuk 86 Ahli Parlimen.

Sementara itu, PN mempunyai 73 ahli parlimen, manakala sekutunya di Sabah, GRS mempunyai enam ahli parlimen.

Tiga ahli parlimen Sabah, dua daripada KDM dan seorang bebas, telah menyatakan sokongan kepada PN.

Sebelum ini, GPS Sarawak – yang mempunyai 23 kerusi selepas memenangi Baram semalam – pada mulanya menyokong PN.

Bagaimanapun, mereka kini telah berkata bahawa mereka akan menyerahkan kepada Agong untuk menentukan siapa yang menjadi perdana menteri – memberi gambaran sokongannya kepada PN mungkin boleh berubah. [MK]

Facebook Comments