AirAsia Peroleh Kelulusan CAAM Untuk Latihan Juruterbang Dron | Malaysia News
AirAsia Drone

AirAsia peroleh kelulusan CAAM untuk latihan juruterbang dron

AirAsia Group Bhd telah memperoleh Sijil Kelulusan (COA) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk menjalankan latihan penerbangan dron.

Syarikat itu berkata, latihan dalam kelas akan dijalankan di AirAsia Academy di KL Sentral dan latihan praktikal akan dijalankan di padang YMCA Kuala Lumpur, bersebelahan KL Sentral.

Ketua Penguatkuasaan Keselamatannya, Kapten Ling Liong Tien berkata, kumpulan tersebut merupakan yang pertama di Malaysia memperoleh kelulusan CAAM untuk akreditasi latihan juruterbang dron (RPTO).

“Idea di sebalik latihan RPTO adalah untuk menyediakan sokongan industri melalui latihan juruterbang dron yang berkualiti dengan memanfaatkan latar belakang industri penerbangan yang kukuh dan kepakaran kami selama dua dekad.

“Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) kini telah menjadi elemen penting dalam pelbagai industri untuk memacu keberkesanan dan kecekapan kos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Liong Tien berkata, kumpulan itu komited untuk membangunkan asas yang kukuh, disokong oleh sistem pengurusan keselamatan sedia ada, pengurusan sumber kru dan program latihan modal insan bersama-sama modul latihan juruterbang dron di dalam dan di luar kelas.

Menurutnya, program latihan juruterbang dron itu menyokong projek perintis bagi penghantaran barangan daripada platform e-dagang AirAsia menggunakan dron automatik.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam berkata, revolusi penghantaran menggunakan dron merupakan pasaran yang lumayan dan kian meningkat, sambil menambah bahawa industri ini telah berkembang pesat di peringkat global dan dijangka mencecah AS$7.388 bilion menjelang 2027.

Facebook Comments