Amy 'Search' Berundur, Nasir Curhat Makna Persahabatan | Malaysia News
September 19, 2024

Amy ‘Search’ Berundur, Nasir Curhat Makna Persahabatan

Amy ‘Search’ Berundur, Nasir Curhat Makna Persahabatan

Kuala Lumpur, MTN – Menganggap Awie seorang kawan yang mempunyai nilai persahabatan tinggi, Nasir Daud tampil memuji-muji jasa dizahirkan vokalis Wings itu untuk Search.

Pemain bass kumpulan rock legenda itu merakamkan penghargaannya kepada Awie kerana kesudiaan penyanyi Tiada Rahsia Antara Kita itu mengisi posisi hadapan bagi menjayakan Konsert Apologia Search & Awie.

“Sesungguhnya dia memiliki nilai persahabatan yang sangat tinggi, sanggup memikul tanggungjawab yang berat sebagai frontman Search walaupun umum tau Awie juga sibuk dengan perniagaan sendiri selain ada Wings, Dragon Malaya dan projek solo.

“Ramai yang mengaku kawan baik memberi kita semangat dalam kehidupan, boleh bergelak ketawa, berkongsi duka dan membuatkan kita rasa dihargai walaupun bukan darah daging sendiri,” katanya di media sosial kelmarin.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, selain Nasir, dua lagi anggota asal Search – iaitu Kid dan Din – mendedahkan mereka sudah tidak sanggup lagi menunggu kata putus daripada Amy berhubung konsert mereka yang sepatutnya berlangsung 28 Mac lalu.

Ketika itu Amy belum mengumumkan keputusannya meninggalkan Search.

Nasir mendakwa, pihak pengurusan Amy sering berdolak-dalik ketika memberi jawapan apabila diajukan pertanyaan mengenai kominten untuk konsert berkenaan.

Untuk rekod konsert tersebut ditangguhkan selaras dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan.

Penghargaan buat ‘anggota tetap’

Katanya, mereka terpaksa mengambil keputusan untuk meneruskan Konsert Apologia tanpa Amy dan menggantikan penyanyi itu dengan Awie.

Menurut Nasir, antara alasan mereka berbuat demikian adalah bagi meneruskan kelangsungan hidup masing-masing.

Bagi menjayakan Apologia di Publika, Kuala Lumpur itu, Search akan menggunakan khidmat Pae sebagai pemain dram bagi menggantikan tempat Allahyarham Yazit.

Pada 29 Mac lalu, Amy mengumumkan kualiti vokal semakin menurun menjadi penyebab dia memilih untuk meninggalkan band berkenaan.

Menguatkan lagi kenyataanya itu, Nasir berkata, kawan yang baik juga boleh berperanan menjadi penguat semangat seseorang.

Katanya lagi semua agama atau falsafah di dunia ini memang menerapkan nilai murni dalam sesuatu persahabatan.

“Sebuah persahabatan yang sihat mempunyai satu nilai kepercayaan yang tinggi. Sebuah persahabatan yang sihat patut dihargai,” katanya.

Dalam hantaran sama, Nasir turut berterima kasih kepada anggota Wings yang lain kerana membenarkan Search ‘meminjam’ vokalis mereka.

“Kami turut merakamkan ucapan terima kasih kepada adinda-adinda Wings yang memberikan ruang kepada Awie untuk bersama Search,” katanya.

Dia juga mengucapkan penghargaannya buat “anggota tetap” Search yang lain kerana memungkinkan kumpulan berkenaan bertahan selama 40 tahun dalam industri.

“Kepada anggota tetap Search iaitu peminat, penyokong, pendukung, pecinta musik rock Melayu yang kami kasihi, andalah faktor, asas dan komponen terpenting dalam perjalanan seni dan kejayaan Search hingga bertahan dan terus bertahan menghampiri 40 tahun di persada seni muzik tanah air.

“Anda jua sebahagian daripada bahan atau resipi dalam setiap karya yang kami hasilkan. Search akan terus berkarya dan memberikan yang terbaik buat anda tanpa rasa jemu,” katanya.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply