Anwar dakwa Perdana Menteri hilang sokongan, Kerajaan PN sudah tumbang

Anwar dakwa Perdana Menteri hilang sokongan, Kerajaan PN sudah tumbang
MTN – Ketua pembangkang Anwar Ibrahim hari ini mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah hilang sokongan majoriti di parlimen.
Anwar mendakwa kerajaan Perikatan Nasional telah tumbang apabila anggota parlimen menarik sokongan mereka terhadap pentadbiran Muhyiddin.
“Hari ini kita berkumpul untuk menyatakan bahawa, secara jumlah ahli parlimen, kerajaan Mahiaddin telah jatuh tumbang hari ini. Dan saya dapat maklumat dari parti-parti lain ada mengemukakan senarai yang minta keluar dari PN.
“Maka dengan 107 yang ada di sini, campur mereka, kerajaan sudah ditumbangkan,” katanya.
Dia berkata demikian di hadapan ahli-ahli parlimen pembangkang ketika mereka berhimpun di Dataran Merdeka sebelum berarak ke parlimen pagi tadi.
Pembangkang sebelum ini berulang kali membangkitkan isu keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kuasa melalui tindakan melompat parti segelintir ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.
September lalu, Anwar mendakwa dia mendapat sokongan majoriti ahli parlimen untuk mengambil alih semula kuasa dan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi memaklumkan perkembangan itu.

Anwar yang bekas timbalan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan ahli parlimen Pembangkang lain hari ini berarak dari Dataran Merdeka menuju ke parlimen, namun usaha mereka terhalang oleh sekatan pihak polis termasuk anggota daripada pasukan FRU.
Ahli-ahli parlimen pembangkang mengulangi gesaan agar Muhyiddin meletakkan jawatan setelah menerima teguran daripada Yang di-Pertuan Agong minggu lalu.
Anwar, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini mendakwa Muhyiddin menggunakan isu Covid-19 sebagai alasan untuk menghalang parlimen bersidang. [MK]

Author Profile

Latest entries
NationalNovember 21, 2025UPSI lancar lima inisiatif integriti perkukuh tadbir urus universiti
NationalNovember 21, 2025Kewartawanan penyiasatan kekal berdaya tahan
NationalNovember 14, 2025UPSI rai pengorbanan ibu dalam kejayaan anak di Istiadat Konvokesyen
EkonomiNovember 13, 2025MOF – RM17.5 Bilion demi Kesejahteraan Rakyat Sabah



