Berpuluh orang di rumah Muhyiddin – Fadzil: mana nasihat Noor Hisham?

Berpuluh orang di rumah Muhyiddin – Fadzil: mana nasihat Noor Hisham?
Kuala Lumpur, MTN – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mempersoalkan nasihat yang diberikan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah agar parlimen tidak dibuka semula kerana kebimbangan mengenai penularan Covid-19.
Pengarah komunikasi PKR itu mempersoalkan mengapa nasihat serupa tidak dibuat minggu lalu berikutan laporan kunjungan ahli-ahli parlimen ke rumah Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
“Mana suara nasihat kebimbangan @DGHisham bila berpuluh orang berulang-alik ke rumah TS Mahiaddin sepanjang minggu lalu? Dan orang-orang itu ramai yang turut hadir ke parlimen?
“Kebimbangan selektif?” soal Fahmi.
Dia mengulas kenyataan Noor Hisham semalam bahawa penularan virus Covid-19 varian berbahaya mungkin berlaku jika sidang parlimen khas diteruskan hari ini.
Pada 31 Julai lalu, Muhyiddin mengumumkan sidang khas parlimen yang seharusnya disambung hari ini ditangguhkan “ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak”.
Noor Hisham berkata nasihat untuk tidak membuka kembali parlimen dibuat kerana ada individu yang disahkan positif Covid-19 di parlimen minggu lalu mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
Noor Hisham menambah warga emas di parlimen kemungkinan mempunyai faktor komorbiditi yang meningkatkan risiko jangkitan.
Pada Khamis lalu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon menangguhkan persidangan setelah mengesahkan empat individu didapati positif Covid-19.
Ujian saringan terhadap 1,183 individu di parlimen mendapati 11 individu positif di mana Noor Hisham semalam berkata terdapat enam kes bergejala dengan kebolehjangkitan tinggi.
Sidang parlimen Khamis lalu kecoh apabila Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengemukakan teguran Yang di-Pertuan Agong berhubung tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan yang memberitahu parlimen bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan.
Muhyiddin tidak berada di Dewan Rakyat pada hari yang sama .
Straits Times Singapura, dalam laporan yang memetik sumber, mendakwa ahli-ahli parlimen yang menyokong perdana menteri mengadakan perbincangan di rumahnya, termasuk dakwaan beberapa rakan sekutu Muhyiddin menasihatinya agar mengundurkan diri.
Pejabat Perdana Menteri mempertahankan keputusannya dengan mengatakan bahawa ahli parlimen bertindak mengikut Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Agong perlu mengikut nasihat kabinet. [MK]
Author Profile

Latest entries
Seni & HiburanApril 24, 2025Treler filem Keluang Man, tambah keterujaan peminat
InternationalApril 22, 2025PM Thailand gesa kerjasama pelbagai hala tangani cabaran rentas sempadan
IT & Social MediaApril 21, 2025Semua video YouTube akan dialih bahasa secara automatik
NationalApril 16, 2025Malaysia promosi kempen pelancongan 2026 dengan Indonesia