Anwar Ibrahim - Apa Beza Buka Sempadan 1 April Dengan Dua Minggu Awal? | Malaysia News

Anwar Ibrahim – Apa beza buka sempadan 1 April dengan dua minggu awal?

Ismail Sabri Yaakob - Anwar Ibrahim - PRN Johor

Anwar Ibrahim – Apa beza buka sempadan 1 April dengan dua minggu awal?

PRN Johor | Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan keputusan kerajaan yang hanya membuka pintu sempadan negara bermula 1 April, berbanding sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Dakwa Presiden PKR itu, langkah itu membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak yakin dengan pengaruh pengundi luar untuk memilih Barisan Nasional (BN).

“Kalau dia yakin betul (menang), apa beza (buka sempadan) dua minggu ini (awal)?, dia tidak yakin la tu.

“Sekiranya Perdana Menteri benar-benar yakin dia ada kekuatan, dia boleh buka sempadan sebelum 1 April untuk membolehkan rakyat (pengundi luar) buat pilihan.

“Tetapi oleh kerana ratusan ribu (pengundi luar) itu, dia yakin tidak akan mengundi BN, maka beliau sekat dan maknanya dia tidak yakin,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan Ceramah Kelompok di Pekan Bukit Gambir, di sini pada petang Rabu yang turut dihadiri Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gambir, Naim Jusri.

Ahli Parlimen Port Dickson itu terdahulu mengulas keyakinan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO bahawa BN mampu memenangi PRN Johor dengan majoriti selesa.

Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, peluang BN adalah baik dan meminta semua jentera parti untuk bekerja keras sehingga tempoh terakhir berkempen.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri menganggarkan lebih 200,000 rakyat negeri Johor yang menetap di Singapura layak mengundi secara pos dalam PRN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimanapun baru-baru ini memaklumkan hanya sebanyak 7,814 undi pos dikeluarkan bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) berbanding dengan anggaran 200,000 pekerja Malaysia di Singapura yang dianggarkan. [AA]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply