Anwar Ibrahim Kritik ‘Naratif Palsu’ Kestabilan Politik & Perpaduan | Malaysia News

Anwar Ibrahim kritik ‘Naratif Palsu’ kestabilan politik & perpaduan

Anwar Ibrahim - Presiden PKR

Anwar Ibrahim kritik ‘Naratif Palsu’ kestabilan politik & perpaduan

Presiden PKR Anwar Ibrahim membidas “naratif palsu” berhubung kestabilan politik dan perpaduan yang digunakan oleh Umno dalam mempertahankan gesaan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Bercakap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya PKR Johor, Anwar berkata tumpuan utama diperlukan dalam menyelesaikan isu yang melibatkan rakyat, termasuk peluang pekerjaan, kualiti pendidikan dan kos sara hidup.

“Jadi apa yang nak dibanggakan oleh BN dan PN ini? Yang riuh-rendah gegak-gempita soal kestabilan, kestabilan untuk apa?

“Stabil untuk senang ambil tanah? Stabil untuk senang rompak? Stabil ini untuk memastikan nasib rakyat terbela,” kata Anwar ketika berucap di majlis yang diadakan di Pulai Springs Resort, Johor Bharu.

Sebelum ini, penyandang menteri besar dari Umno Hasni Mohammad pernah mengeluarkan kenyataan mempertahankan permintaan partinya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri dan menggesa PRN, dengan mengatakan kerajaan pimpinan BN tidak boleh terus berfungsi dengan hanya majoriti satu kerusi daripada 56 kerusi DUN.

Hasni berkata kerajaan negeri tidak stabil dan memerlukan mandat baru untuk meneruskan rancangannya di Johor.

Menyentuh dari aspek menyeluruh, Anwar berkata naratif palsu itu juga terbukti selama 60 tahun pentadbiran BN sebelum Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 2018.

“Stabil untuk apa? Stabil ini untuk memastikan nasib rakyat terbela..60 tahun memang stabil! Tapi tidak menjamin keselesaan hidup rakyat. Jadi naratif stabil ini jangan mengelirukan.

“Begitu juga naratif perpaduan. Semua bicara soal perpaduan. Perpaduan Melayu, kesatuan ummah, perpaduan rakyat,“ kata ahli parlimen Port Dickson itu.

“Ya, negara yang merdeka harus bersatu-padu tapi untuk apa? Bersatu untuk keselesaan rakyat.

“Bukan bersatu turun-temurun punggah kekayaan,” katanya.

Anwar, yang tiba di Johor dari Baling, Kedah, di mana dia menghadiri majlis memperingati rusuhan di Baling pada 1974, yang mengisahkan mengenai penentangan terhadap kemiskinan tegar dan ketidakadilan sosial pada masa itu, yang terus menjadi isu relevan dalam perjuangan politik PKR sedia ada.

Dalam ucapannya, Anwar memuji jentera dan ahli parti PKR Johor dari Selangor dan Negeri Sembilan, yang juga hadir bersama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Pada Jumaat, Anwar telah mengumumkan kumpulan terakhir 20 calon PKR, dan dia semalam menyatakan bahawa terdapat beberapa perubahan saat akhir dibuat untuk melaksanakan janji terhadap sekurang-kurangnya tiga calon wanita dan tiga dari sayap pemuda.

Amirudin dalam ucapannya mengingatkan bahawa ketika Bersatu dan PN menentang Umno-BN dalam PRN Johor, mereka kekal menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan yang sama di Putrajaya.

“Mereka kata melawan kleptokrat, tetapi esok lepas mereka pulang ke KL, mereka bersama kleptokrat dalam kerajaan,” kata Amirudin.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh berkata dia telah bertemu dengan jentera parti di kesemua 20 kerusi, untuk mengenal pasti dan menyelesaikan pelbagai isu menjelang tempoh berkempen bermula selepas penamaan calon pada 26 Feb.

Hari mengundi PRN Johor diadakan pada 12 Mac. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply