Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia

Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia
Anwar Ibrahim sah sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim secara rasmi dilantik sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia petang ini.
Majlis mengangkat sumpah jawatan itu dijalankan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Anwar diperkenan Agong untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas baginda memperhalusi pandangan raja-raja Melayu yang menghadiri perbincangan khas di Istana Negara hari ini.
Dengan pelantikan Anwar itu, berakhirlah penantian orang ramai untuk melihat pemimpin baru bagi memimpin negara ini selepas berakhirnya pilihan raya umum (PRU) pada 19 Nov lalu.
Turut hadir dalam majlis mengangkat sumpah ialah Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat; Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim; serta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Harun.
Tidak ketinggalan pemimpin-pemimpin kanan PH dan BN.
Anwar, 75, kini menggantikan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, sebagai perdana menteri.
Pelantikan ahli parlimen Tambun itu dibuat selepas hampir seminggu politik negara berdepan dengan kebuntuan berikutan pilihan raya umum (PRU) yang menyaksikan tiada mana-mana parti memperoleh majorti mudah di Dewan Rakyat.
Keputusan PRU ke-19 pada 19 Nov lalu menyaksikan PH memenangi 82 kerusi di parlimen sedangkan jumlah yang diperolehi untuk mendapat majoriti mudah ialah 112.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, mendakwa gabungan itu mempunyai sokongan 115 ahli parlimen pada Selasa tetapi pihak istana tidak menerimanya.
Bagi mengatasi masalah tersebut, kerajaan perpaduan telah dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Di bawah pengaturan itu, Anwar akan mengetuai kerajaan perpaduan dengan BN sebagai rakan utama PH, manakala Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah, serta Parti Warisan Sabah dijangka akan memberikan sokongan.
Sementara itu Anwar berkata, dia akan menggalas amanah yang diberikan itu dengan penuh tawaduk dan bertanggungjawab.
“Tugas berat ini akan saya pikul bersama pasukan berpandukan kehendak dan nurani rakyat,” katanya. [MK]
Author Profile

Latest entries
KesMarch 6, 20251MDB – Mahkamah sekat akses akaun bank luar negara
SukanMarch 5, 2025Reijnders Pemain TimNas Indonesia kekal di AC Milan hingga 2030
IT & Social MediaMarch 4, 2025Aplikasi CIMB Clicks akan ditamatkan sepenuhnya pada 12 April 2025
TokohFebruary 26, 2025Mahathir dan Jokowi bertemu di Solo, bincang hal Malaysia-Indonesia