UMNO Tolak Kerajaan Perpaduan Diterajui PN | Malaysia News

UMNO tolak kerajaan perpaduan diterajui PN

MKT UMNO

UMNO tolak kerajaan perpaduan diterajui PN

UMNO memutuskan untuk menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang bukan dipimpin oleh Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi khas parti itu yang berlangsung selama lima jam.

“MKT (Majlis Tertinggi) secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang bukan diterajui oleh PN bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk,” katanya.

Selain itu, kata Ahmad Maslan, Majlis Tertinggi Umno juga bersetuju semua wakil parti yang memenangi kerusi parlimen pada PRU Ke-15, mematuhi dan menerima sebarang bentuk kerajaan perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“MKT mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan BN dengan PH dan PN,” tambahnya.

Ahmad juga mengumumkan Perhimpunan Agung Umno 2022 akan diadakan antara 21 dan 24 Dis.

Difahamkan, mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno yang bermula 8.00 malam tadi diadakan untuk memutuskan sokongan BN sama ada kepada PN atau PH.

Keputusan itu dibuat selepas Umno mendengar daripada jawatankuasa perundingan tujuh anggota yang baru ditubuhkan yang ditugaskan untuk mengadakan perbincangan dengan PH dan PN.

Dewan Tertinggi BN kemudiannya akan membuat keputusan pada pagi ini sebelum ia dibentangkan kepada 30 ahli parlimen BN yang baru dipilih.

Walaupun Dewan Tertinggi BN pada awalnya menyatakan hasrat untuk kekal berkecuali dan menjadi pembangkang, mereka dilihat lebih komited untuk merealisasikan kerajaan perpaduan selepas menerima titah Yang di-Pertuan Agong semalam.

PH mempunyai bilangan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat (82 kerusi), diikuti PN (73).

Mana-mana gabungan akan memerlukan penyertaan BN (30 kerusi) untuk membentuk kerajaan. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply