Anwar: Pembangkang Perlu Bekerja Lebih Keras Untuk PRU15 | Malaysia News
October 18, 2021
Anwar Ibrahim

Anwar: Pembangkang perlu bekerja lebih keras untuk PRU15

Kuala Lumpur, MTN – Dengan pelantikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri selepas krisis politik yang berlaku, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata pembangkang kini perlu bekerja lebih keras untuk persiapan menghadapi PRU15.

Anwar berkata pembangkang mengambil maklum bahawa pelantikan Ismail dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan.

“Dengan penuh takzimnya, saya mewakili pembangkang keseluruhannya menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong di atas pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

“Bagi pihak pembangkang, ini adalah cabaran untuk kita bekerja lebih gigih lagi bagi menghadapi PRU15,” katanya dalam kenyataan semalam.

Anwar sebelum ini mendapat 105 sokongan ahli parlimen berbanding Ismail yang berjaya meraih sokongan 114 orang.

Sebanyak 111 ahli parlimen diperlukan untuk mendapat majoriti mudah. Kini terdapat 220 orang ahli parlimen di Dewan Rakyat dengan dua kerusi kosong.

Advertisement

Anwar berkata usaha perlu diteruskan bagi menangani krisis wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU15, agar kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada PRU lalu,” katanya lagi.

Pelantikan perdana menteri baru dibuat setelah Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan akibat hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Ia selepas 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya. Bagaimanapu 14 daripadanya setuju untuk kembali menyokong Perikatan Nasional (PN) selepas Ismail dipersetujui untuk mengambil alih jawatan itu. [MK]

Kenyataan Media Ketua Pembangkang - Anwar Ibrahim

 

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •