Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan membincangkan cadangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai pelawaaannya agar parti-parti Melayu menyertai Bersatu, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
“Kita ada mesyuarat Majlis Presiden PH dan itu ruang yang terbaik untuk kita bincang termasuk cadangan PM terbaru. Isnin, 8 haribulan mesyuarat.
“Ini mesyuarat biasa bulanan Majlis Presiden, tentu digunakan (oleh perdana menteri) untuk beri penjelasan,” jawabnya ringkas kepada pemberita selepas majlis pelancaran University Malaya Endowment Fund (UMEF) di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Dr Mahathir Mohamad mempelawa semua parti politik Melayu termasuk Umno untuk menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.
Pengerusi Bersatu itu berkata kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.
“Kalau dahulu, cuma ada satu sahaja parti yang mewakili orang Melayu iaitu Umno tetapi kerana tamak untuk mendapatkan tempat, maka hari ini orang Melayu berpecah kepada enam (parti).
“Enam, bukan lagi majoriti 60 peratus tetapi setiap parti 10 peratus sahaja,” kata Mahathir.