Aprena Manrose Puji #KITABERSAMA Tema ABPBH Ke-34 | Malaysia News
September 18, 2024

Aprena Manrose puji #KITABERSAMA tema ABPBH Ke-34

Aprena Manrose

Aprena Manrose puji #KITABERSAMA tema ABPBH Ke-34

Kuala Lumpur, MTN – Calon awal kategori Pelakon Filem Wanita Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Aprena Manrose percaya tema #KITABERSAMA dibawa penganjur pada edisi kali ini tepat dengan situasi semasa.

Aprena berkata, ketika berdepan penularan pandemik COVID-19 dan menyesuaikan diri hidup dalam endemik, semua orang tidak boleh mementingkan diri sendiri.

“Kita kena sama-sama membendung penularan COVID-19. Kita kena terus jaga diri dan patut prosedur operasi standard (SOP).

“Pepatah berbunyi ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’ perlu diguna pakai. Kalau kita hanya fikir diri sendiri, ia tidak bermakna.

“Pandemik ini akan bertukar kepada endemik di mana kita kena belajar hidup dengan virus COVID-19. Jadi, ia menuntut kita sama-sama melawannya.

“Kalau ada yang tidak bersatu hati, sia-sialah usaha yang dilakukan pihak berkuasa (bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19),” katanya.

Anak pasangan bekas penyanyi dangdut, Iwan dan penerbit, Allahyarham Rosnah Mohd Noor ini mengaku tema #KITABERSAMA menyerlah sikap empati dalam diri setiap insan.

“Kita masih belum menang. Ramai yang terus bergelut. Dalam hal ini, hati kita perlu tebal dengan sikap empati selain sensitif.

“Ini bererti dalam melakukan apa sahaja termasuk memuat naik entri di media sosial, kita seboleh-bolehnya cuba jaga perasaan orang sekeliling.

“Ketika kita rasa diri ini susah, pasti ada insan lain yang lebih sukar hidup mereka. Kalau tidak dapat menyalurkan bantuan kepada insan memerlukan, setidak-tidaknya kita berusaha menyelami kesukaran mereka,” katanya.

Pelakon yang meledak melalui drama Tiada Arah Jodoh Kita ini berkata, ketika kerajaan melonggarkan SOP sektor ekonomi termasuk kebenaran rentas daerah di ibu negara, Selangor dan Putrajaya, kebebasan itu tidak sepatutnya disalah guna.

“Ketika ada yang hendak bercuti atau makan di restoran, mungkin ada orang lain yang masih mengikat perut kerana bergelut.

“Dalam keadaan ini, kita cuba beragak-agak. Kita kena berusaha untuk menjaga perasaan orang lain,” katanya.

Ditanya mengenai pencalonan dalam ABPBH 34, Aprena atau nama penuh, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman tidak terlalu berharap.

Aprena dicalonkan melalui filem Jodoh Syaitan arahan Ismail Bob Hashim dan terbitan Da Motion Media. Aprena berganding dengan Soffi Jikan selain Allahyarham Abam Bocey, Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi dan Jay Izwazir dalam filem itu.

“Melihat kepada senarai calon awal, tidak dinafikan semua hebat-hebat belaka. Saya berserah dalam hal ini. Mungkin berbunyi klise, tapi kalau dapat sampai ke peringkat Top 5, sudah cukup baik.

“Pastinya, kalau menang, ia dianggap bonus. Namun, pada akhirnya, semuanya berbalik kepada rezeki dan tuah. ABPBH berpaksikan sokongan dan kuasa undian peminat,” katanya. [BH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply