Single Terbaru Siti Nurhaliza Kolaborasi Dengan Maestro Music Indonesia | Malaysia News
September 18, 2021

Single terbaru Siti Nurhaliza kolaborasi dengan maestro music Indonesia

Kuala Lumpur, MTN – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bakal melancarkan ’single’ terbaharu hasil kolaborasi bersama maestro muzik dari Indonesia dalam tempoh terdekat.

Tanpa mendedahkan siapa pemuzik tersebut, beliau berkata single terbaharu itu adalah buah tangan buat peminat yang selama ini menyokong kariernya dan menggambarkan perjalanan Siti sepanjang tempoh 25 tahun dalam industri.

“Kami dalam proses berbincang bersama beliau dan juga pihak Universal Music untuk projek istimewa ini sempena 25 tahun saya dalam industri.

“Doakan supaya saya dapat lagu yang bagus dan music arrangement yang hebat untuk hasilkan single yang terbaik,” katanya kepada media melalui sidang video selepas majlis sambutan ulangtahun kedua BeauSiti secara maya sebentar tadi.

Siti juga mengesahkan bahawa DVD ‘Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour’ yang merupakan rakaman persembahan konsert jelajahnya di tiga buah negara pada tahun 2019 lalu juga bakal menemui peminat.

Isteri kepada usahawan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan ibu kepada Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa itu setakat ini telah menghasilkan lebih daripada 20 buah album.

Sementara itu, Siti berkata menerusi perniagaan BeauSiti, beliau mahu membantu mereka yang berminat menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup selain meningkatkan keyakinan diri berdepan dengan orang ramai dengan menyertai SitiZen.

Advertisement

SitiZen adalah komuniti berdaftar yang menjalankan perniagaan bersama BeauSiti.

“Selain menjadi usahawan berjaya, melalui SitiZen yang kini mencecah lebih dari 1,700 orang, saya juga mahu melahirkan lebih ramai jutawan. Impian saya agar perniagaan saya dapat berterusan sampai bila-bila dan dapat memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Siti juga berkata syarikatnya dalam proses untuk berkerjasama dengan stesen-stesen minyak terpilih bagi memudahkan akses mendapatkan produk BeauSiti serta mengembangkan jenama tersebut ke pasaran Asia dan Timur Tengah menjelang 2026.

Siti atau mesra disapa Tokti mengakui bukan mudah untuk mengekalkan momentum sebagai penyanyi dan usahawan apalagi di waktu pandemik ini, namun kesabaran yang tinggi, ketahanan fizikal dan mental mendorong beliau untuk terus berusaha berada di tahap sekarang.

“Jangan mengeluh dan selalu berbincang. Apapun keadaan, perlu ada jalan untuk menghadapi cabaran itu dengan cara yang positif. Bukan dengan rasa “give-up” atau menyerah. Setiap masalah kita perlu tukar dengan penyelesaian secara yang terbaik,” katanya.

Mengakui penjualan produk BeauSiti turut terjejas namun dijangka masih mencapai sasaran jualan yang ditetapkan iaitu sebanyak RM10 juta bagi 2021.

Sehingga September tahun ini, sebanyak 200,000 unit produk BeauSiti telah terjual dengan nilai penjualan mencecah RM7 juta. [MK]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •