BCL 'lemas' Dalam Emosi Pada Konsert Di KLCC | Malaysia News

BCL ‘lemas’ dalam emosi pada konsert di KLCC

BCL ‘lemas’ dalam emosi pada konsert di KLCC

BCL ‘lemas’ dalam emosi pada konsert di KLCC

Penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari bergelut dengan perasaan sedih dan rindu ketika menjayakan konsert BCL Blossom Intimate Concert di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jumaat lalu.

Biarpun kelihatan riang pada awalnya, Bunga tidak dapat menahan air mata saat terkenangkan arwah suami yang juga pelakon kelahiran Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair.

Kemunculan semula penyanyi berusia 39 tahun itu ke bumi Malaysia akhirnya menjentik setiap memori percintaan yang dibina bersama Allahyarham Ashraf.

Bagaimanapun, Bunga atau lebih mesra disapa BCL tetap meneruskan persembahan dengan lebih 20 lagu di hadapan lebih 2,500 penonton pada malam itu.

Pada konsert berkenaan, BCL turut berkongsi fasa perjalanan kehidupan sebelum dan selepas pemergian arwah suami tercinta.

Tampil megah di atas pentas dengan mengenakan gaun putih tepat jam 9 malam, Bunga atau lebih dikenali sebagai BCL menyuntik semangat penonton dengan dendangan lagu Sunny yang dipetik album Cinta Pertama terbitan 2006.

Persembahan pembukaan penuh bertenaga itu berjaya menggamatkan suasana Dewan Plenari, KLCC, malah BCL mengambil masa menyampaikan ucapan penghargaan kepada penonton.

BCL menjelaskan penganjuran konsert kali ini adalah berkonsepkan penceritaan kisah hidupnya baik dalam percintaan mahupun karier nyanyian.

“Saya sudah berasakan kepedihan yang teramat dalam, jadi lagu-lagu yang akan disampaikan ini adalah kisah hidup saya.

“Segala kisah hidup saya dituangkan dalam lagu yang akan disampaikan,” katanya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Aku Tak Mau Sendiri, Saat Kau Pergi dan Kecewa.

Tidak lama selepas itu, BCL menjemput masuk anak didiknya yang juga pemenang tempat ketiga program realiti, X Factor Indonesia 2021, Danar Widianto.

Mereka saling berpadu suara menerusi lagu ciptaan Danar, iaitu Dulu dan diikuti dengan Pernah Muda petikan album BCL pada 2008 iaitu Tentang Kamu.

BCL menutup tirai persembahan segmen pertama dengan lagu Ingkar yang pernah dipopularkan pada 2006.

Memasuki persembahan segmen kedua, BCL tampil dengan untaian lagu yang lebih menyentuh jiwa dan emosi penonton.

Lebih lagi, segmen itu juga adalah penghormatan buat suaminya, Allahyarham Ashraf yang menghembuskan nafas terakhir pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung.

BCL yang juga pelakon filem Habibie dan Ainun itu menyanyikan lagu Love Story, Tentang Kamu, Wanita Terbahagia, 12 Tahun Terindah dan Cinta Sejati.

Persembahan yang disertakan dengan paparan koleksi foto BCL bersama Allahyarham Ashraf itu turut membuatkan penonton sebak sehingga ada yang menitiskan air mata.

“Saya berasa sudah banyak diberi bahagia, jadi ini adalah momen untuk saya belajar lagi. Apa saya lakukan adalah berusaha menerima kenyataan.

“Tidak hanya saya sahaja yang mengalami kesusahan dalam hidup. Selepas beberapa bulan saya baru terima bahawa hal ini adalah nyata,” kata BCL dalam nada sebak.

BCL kembali merancakkan suasana apabila mengambil peluang menyanyikan lagu daripada Datuk Sheila Majid berjudul Legenda sebelum mengakhiri persembahan segmen kedua dengan Cinta Sejati.

Persembahan terus meriah sebaik sahaja memasuki segmen terakhir yang menyaksikan BCL bermula dengan dua lagu rancak, iaitu Jangan Gila dan Aku Wanita.

Pada masa sama, penyanyi kelahiran Jakarta, Indonesia itu memperkenalkan lagu baharu berjudul Badai Telah Berlalu. Apa yang menarik, lagu itu diperdengarkan secara langsung buat kali pertama.

Kemeriahan konsert berterusan apabila BCL menyanyikan lagu duetnya bersama vokalis kumpulan Noah, Ariel iaitu Menghapus Jejakmu.

Biarpun Ariel tidak bersama dan hanya dipaparkan video nyanyiannya sahaja, segmen itu tetap menceriakan keseluruhan penonton.

BCL turut berduet dengan penyanyi baharu bernama Ray menerusi lagu Aku Dan Dirimu.

Penonton diberi kejutan pada persembahan penutup dengan menampilkan anak lelaki BCL, Noah Aidan Sinclair menerusi lagu Dance Tonight.

Pada persembahan itu, Noah memukau penonton dengan nyanyian rap dan kelincahannya menari di atas pentas sebelum mengundang sorakan gemuruh penonton. [BH]

Facebook Comments

Author Profile

Wahyu Basyir
Wahyu Basyir

About The Author

Leave a Reply