Najib Razak Tak Rahsiakan Akaunnya Akan Terima Dana Besar | Malaysia News

Najib Razak tak rahsiakan akaunnya akan terima dana besar

Najib_Razak

Najib Razak tak rahsiakan akaunnya akan terima dana besar

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah berselindung mengenai pembukaan akaun peribadinya di AmBank yang akan menerima dana dalam jumlah besar, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika menyoal balas bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping yang mengendalikan akaun Najib ketika itu, berkata Najib tidak pernah menyembunyikan tujuan akaunnya dibuka pada tahun 2011.

Ging Ping yang bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee, berkata Ahli Lembaga Pengarah AmBank mengetahui akaun Najib akan menerima dana dalam jumlah besar.

Menurut saksi ke-41 pendakwaan itu, beliau tidak pernah melihat sebarang dokumen yang menyatakan Najib meminta supaya status atau transaksi akaunnya dirahsiakan.

Ging Ping berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Dalam perbicaraan sebelum ini, bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang memberitahu Mahkamah Tinggi, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) (ketika itu) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengetahui Najib akan menerima wang AS$100 juta daripada Arab Saudi pada 2011.

Tek Kuang berkata, beliau memaklumkan Zeti, Najib akan membuka akaun di AmBank bagi menerima kemasukan dana berkenaan.

Sementara itu, Ging Ping berkata, cadangan supaya tiga akaun peribadi Najib ditutup dibuat oleh Pengarah Urusan Kumpulan AmBank ketika itu, R Ashok kerana ‘tidak selesa’ dengan akaun berkenaan.

Muhammad Shafee: Apa yang Ashok fikirkan sehingga mahu menutup tiga akaun perdana menteri ketika itu?

Ging Ping: Ada banyak isu dengan akaun itu, antaranya kemasukan dana yang besar dan pengeluaran yang melebihi baki dalam akaun.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan, Ashok seorang pegawai yang telus dan mematuhi peraturan, oleh itu jika butiran akaun itu terdedah, kamu takut kerana akan didapati bekerja dengan Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho).

Joanna: Tidak, saya tidak bersubahat dengan Jho Low.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan, kamu dipecat (daripada Ambank) adalah kerana tindakan kamu yang bersekongkol dengan pihak ketiga.

Ging Ping: Tidak setuju.

Muhammad Shafee: Kamu dipecat kerana menerima arahan dan meminta kelulusan berhubung urusan hal ehwal akaun daripada pihak ketiga yang tidak diberi mandat.

Ging Ping: Semua pihak sedia maklum bahawa pihak ketiga dalam urusan akaun adalah Jho Low, tetapi saya tidak memiliki dokumen bertulis daripada Najib dan Jho Low mengenai perkara itu.

Ketika membela diri dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, Najib berkata, beliau terkejut mengapa pihak AmBank (Joanna) berurusan dengan Jho Low sedangkan ahli perniagaan dikehendaki polis itu tidak pernah diberi kuasa berkaitan urusan dengan akaunnya.

Katanya, beliau tidak diberitahu mengenai Jho Low mengarahkan Ging Ping mendapatkan kelulusan bagi menggunakan nama lain untuk ketiga-tiga akaun dan tidak tahu mengapa bank mengambil arahan daripada seseorang yang tidak diberikan kuasa untuk berurusan dengan akaunnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa ini. [BH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply