BERSATU Kini Ada Dua SetiaUsaha, Sekaligus Jadi Parti Dua Nahkoda | Malaysia News
April 8, 2020

BERSATU Kini Ada Dua SetiaUsaha, Sekaligus Jadi Parti Dua Nahkoda

Walaupun tindakan Muhyiddin Yassin mengumumkan pemecatan Marzuki Yahya selaku Setiausaha Agung Bersatu dan perlantikan Hamzah Zainuddin sebagai penggantinya dibantah oleh Tun Mahathir Mohamad atas sandaran beliau selaku Pengerusi parti tidak pernah dirundingi mengenainya, bantahan itu nampaknya hanya ibarat mencurah air ke daun keladi semata-mata.

Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu terlihat langsung tidak mengendahkan bantahan Tun Mahathir itu.

Hamzah kini sah dilantiknya sebagai Setiausaha Agung Bersatu berkuatkuasa 18 Mac lalu, malah sudah pun memulakan tugasnya itu.

Dalam waktu yang sama, Marzuki yang tentunya kerana merasakan pemecatannya tidak sah, lebih-lebih lagi setelah dibantah oleh Tun Mahathir sendiri, terus juga kekal sebagai Setiausaha Agung Bersatu.

Baru-baru ini, berhubung perkara yang sama iaitu penangguhan persidangan cawangan, bahagian serta perhimpunan agung tahunan Bersatu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April kerana ancaman wabak Covid-19, kedua-duanya iaitu Marzuki dan Hamzah telah mengeluarkan surat pemakluman yang serupa.

Surat Hamzah bertarikh 23 Mac, manakala surat yang dikeluarkan Marzuki bertarikh 25 Mac 2020.

Keadaan ini bermakna Bersatu kini mempunyai dua Setiausaha Agung di bawah dua nakhoda yang berbeza iaitu satu lantikan Muhyiddin dan satu lagi lantikan lama yang memihak kepada Tun Mahathir.

Sampai bilakah keadaan ini akan berterusan?

Apa pula bantahan yang akan dilakukan oleh Tun Mahathir seterusnya?

Apakah antara Tun Mahathir dan Muhyiddin sudah benar-benar tertutup pintu rundingan dan jalan damai antara keduanya?

Jika berterusan dengan dua Setiausaha Agung, bagaimana dengan panggilan mesyuarat MPT Bersatu selepas ini, panggilan oleh Marzuki atau Hamzah yang sah?

Atau mungkinkah masing-masing kem akan mengadakan mesyuarat MPT yang berbeza?

Begitu juga dengan perhimpunan agung tahunan Bersatu di mana tahun ini akan diadakan pemilihan pucuk pimpinannya yang pertama, siapa yang akan mengendalikannya – Marzuki atau Hamzah?

Mungkinkah juga nanti akan berlaku dua perhimpunan agung tahunan yang berbeza? (ShahbudinHusin 26/03/2020)

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •