Bukti PAS Gagal Melaksanakan Janjinya Untuk Menghapus Perjudian | Malaysia News

Bukti PAS gagal melaksanakan janjinya untuk menghapus perjudian

Mustapha Yaakub - Setiausaha Agung Veteran Umno

Bukti PAS gagal melaksanakan janjinya untuk menghapus perjudian

MTN – Keputusan kerajaan menambah kekerapan cabutan khas judi nombor ramalan bukan saja tidak wajar malah memberi implikasi negatif kepada PAS yang kini menjadi sebahagian anggota kabinet.

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub, berkata ia juga memberi gambaran kerajaan terpaksa bergantung kepada hasil cukai judi bagi memenuhi kantungnya.

“Keputusan kerajaan membenarkan cabutan khas nombor ramalan sebanyak 22 kali sepanjang PKP ini amatlah tidak wajar.

“Ia memberi implikasi seperti berikut, kegagalan menteri yang mewakili PAS dan ulamak yang menjadi menteri berada dalam kerajaan untuk menasihati kerajaan tentang bahayanya cabutan khas itu, terutama ketika dalam suasana pandemik ini.

“Ia juga sekaligus membuktikan PAS gagal melaksanakan janjinya untuk menghapus perjudian sekiranya mereka menjadi kerajaan. Sekarang mereka sebahagian daripada kerajaan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengesahkan mereka memberi kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini.

Hal itu dinyatakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat.

“Untuk maklumah ahli Dewan (Rakyat), Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan daripada semua agensi nombor ramalan untuk cabutan khas sebanyak 22 kali bagi tahun 2021,” katanya.

Tengku Zafrul memberitahu hal itu sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar.

Pendedahan itu menyebabkan PAS menjadi sasaran kritikan orang ramai.

Sementara itu, Mustapha berkata tambahan kekerapan cabutan itu juga bagai memberi gambaran yang kerajaan kekurangan dana untuk dibelanjakan.

“Cabutan Khas ini juga menggambarkan kerajaan tidak ada dana yang cukup untuk dibelanjakan sehingga perlu memperbanyakkan cabutan khas perjudian bagi mendapat hasil cukai,” katanya. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply