Aktiviti keagamaan di Masjid, Surau di Terengganu dibenarkan

Aktiviti keagamaan di Masjid, Surau di Terengganu dibenarkan
MTN – Bermula semalam, semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau di seluruh Terengganu dibenarkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan kerajaan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Osman Muda berkata kebenaran itu diberi selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Osman berkata kebenaran itu diberi susulan peralihan Terengganu ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 17 Sept lepas.
“Semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan solat hajat dan bacaan surah Yasin setiap malam Jumaat.
“Pada hari Jumaat pula, semua imam dikehendaki membaca teks doa qunut nazilah dalam solat Jumaat dan doa mohon dijauhi daripada wabak penyakit yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
“Selain itu, majlis akad nikah di masjid, surau dan premis persendirian juga dibenarkan dengan mengikut garis panduan yang akan dikeluarkan oleh JHEAT manakala majlis akad nikah di pejabat agama daerah dibenarkan bagi kes-kes tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kebenaran juga diberi kepada semua institusi pondok, madrasah dan pusat tahfiz yang berdaftar dengan JHEAT untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka tertakluk kepada SOP Kementerian Pendidikan.
Osman berkata masjid dan surau yang dikenakan arahan penutupan mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pula tidak dibenarkan melaksanakan sebarang aktiviti sepanjang tempoh penutupan. [MK]
Author Profile

Latest entries
NationalNovember 21, 2025UPSI lancar lima inisiatif integriti perkukuh tadbir urus universiti
NationalNovember 21, 2025Kewartawanan penyiasatan kekal berdaya tahan
NationalNovember 14, 2025UPSI rai pengorbanan ibu dalam kejayaan anak di Istiadat Konvokesyen
EkonomiNovember 13, 2025MOF – RM17.5 Bilion demi Kesejahteraan Rakyat Sabah



