Bursa Malaysia, Hashstacs Bekerjasama Bangunkan Pasaran Bon LFX | Malaysia Top News
August 9, 2020

Bursa Malaysia, Hashstacs Bekerjasama Bangunkan Pasaran Bon LFX

Kuala Lumpur, MTN – Bursa Malaysia Bhd dan penyedia penyelesaian teknologi kewangan (fintech) Singapura, Hashstacs Pte Ltd hari ini memulakan kerjasama pembuktian konsep (POC) bon berasaskan blockchain bagi kemudahan pertumbuhan pasaran bon di Bursa Kewangan Antarabangsa Labuan (LFX).

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata projek yang lebih dikenali sebagai ‘Project Harbour,’ bertujuan meneroka dan memanfaatkan peluang ditawarkan oleh teknologi blockchain dan aset.

“POC yang dilakukan menerusi kerjasama dengan Hashstacs dapat memberi pengalaman berharga bagi menimba pengetahuan serta mendapatkan pandangan untuk membantu kita mengembangkan pasaran bon.

“Selain itu, POC ini juga bertujuan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kosnya serta kos terbitan bon. Kita akan terus meneroka inovasi teknologi baharu dalam usaha membangunkan pasaran serta mempertingkat kecekapan dan akses terhadap bursa itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Hashstacs Benjamin Soh berkata syarikat itu akan membangunkan satu penyelesaian blockchain bagi tujuan terbitan, perdagangan serta menjelaskan bon pada platform berkenaan.

“Pembentukan ekosistem yang meluas di peringkat industri akan membolehkan penyelesaian lengkap dalam aspek pengasalan, perkhidmatan, penjelasan dan penyelesaian serta membolehkan Malaysia mempunyai potensi kelebihan awal dalam menarik penyenaraian bon serantau dan antarabangsa,” katanya.

Bursa Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, CIMB Investment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan China Construction Bank Corporation cawangan Labuan akan menggunakan platform Trident yang dibangunkan oleh Hashstacs untuk menguji serta mengendalikan pengurusan semua peringkat kitaran hayat perdagangan bon ‘tokenised’ iaitu bon berdasarkan aplikasi teknologi blockchain yang bertujuan mengurangkan pelbagai kos berkaitan terbitannya.

Platform berasaskan blockchain itu juga akan memudahkan terbitan bon berkenaan dengan lebih lancar sambil menyediakan sumber tunggal bagi mengekalkan integriti pegangan pelabur selain menjejak transaksi.

Selain itu, teknologi kontrak pintar pula membolehkan pergerakan dana dan sekuriti, memperluas perkhidmatan aset serta penyediaan mudah tunai kepada peserta pasaran.[BERNAMA]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •