Darurat: Orang Melayu Mula Marah Kepada Istana - Dr Mahathir | Malaysia News
May 11, 2021

Darurat: Orang Melayu mula marah kepada Istana – Dr Mahathir

Kuala Lumpur, MTN – Perisytiharan Proklamasi Darurat sedikit sebanyak telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Melayu, menurut Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, orang Melayu mula meluahkan perasaan marah di laman media sosial kerana mendakwa mereka mula menderita akibat pelaksanaan Proklamasi Darurat.

“Orang Melayu biasa tidak akan derhaka kepada Raja tetapi sekarang orang Melayu mula berasa marah kepada Istana.

“Kita dapat mengikuti (berhubung perkara ini) di media sosial. Ini sangat luar biasa untuk orang Melayu, untuk menentang pemerintah kita.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media susulan bertemu dengan Setiausaha Sulit Kanan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim bagi menghantar surat untuk memohon perkenan Seri Paduka Baginda untuk menerima petisyen rayuan menamatkan Darurat.

Advertisement

Sebelum itu sekitar pukul 3.17 petang, Dr Mahathir memasuki pekarangan Istana Negara bersama Pengerusi Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Abdul Samad dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Dr Mahathir mendakwa, kerajaan Perikatan Nasional mungkin tidak dapat menyampaikan maklumat yang cukup kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga pengisytiharan Proklamasi Darurat diperkenan oleh YDPA mulai Januari 11, 2021 hingga Ogos 1, 2021.

Tindakan itu, dakwa Dr Mahathir seolah-olah kelihatan seperti apa-apa tindakan yang diambil kerajaan adalah atas arahan Istana Negara.

“Segalanya diletakkan di bahu Agong (seolah-olah) apa jua tindakan dikatakan atas arahan Agong.

“Oleh itu, rakyat sekarang ini tidak seperti biasa, mereka berasa tidak senang dengan keadaan ini,” tambahnya lagi. [AA]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •