Dasar Ekonomi PH Berjaya Buahkan Hasil | Malaysia News

Dasar Ekonomi PH Berjaya Buahkan Hasil

Dasar Ekonomi PH Berjaya Buahkan Hasil

Kuala Lumpur, MTN – Kejayaan Tabung Haji (TH) mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak RM1.25 bilion pada setengah tahun pertama 2020 adalah bukti kejayaan penstrukturan semula yang diilhamkan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Jawatankuasa pimpinan Amanah Nasional, Muhammad Faiz Fadzil berkata, bukan itu sahaja, nilai aset sebanyak RM78 bilion juga kembali lebih tinggi berbanding liabilitinya dengan lebihan RM1.9 bilion, walaupun sebelum Mei 2018 telah ditinggalkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam keadaan defisit.

Katanya, dalam tempoh hampir dua tahun pemerintahan PH, pelbagai pembaharuan dan kejayaan telah dicapai, termasuk kadar pengangguran menurun ke lingkungan 3.2 hingga 3.3 peratus bagi setiap suku, berbanding 3.4 hingga 3.5 peratus pada suku tahun 2016 hingga 2017.

Kata beliau, PH juga telah memperkenalkan kembali subsidi petrol yang dimansuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2014.

“Ini telah membantu secara signifikan usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat, khususnya B40 dan M40,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menyatakan, pertumbuhan ekonomi negara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan keutuhan signifikan, iaitu pada kadar 4.8 peratus pada 2018 dan 4.3 peratus tahun 2019, walaupun dalam keadaan ekonomi global yang lembap.

Menurut beliau lagi, kebajikan sosio-ekonomi rakyat terus dibela oleh PH menerusi inisiatif seperti i-Suri yang mewujudkan skim KWSP beserta insentif untuk suri rumah, mengembangkan skim perlindungan PERKESO kepada pekerja ekonomi gig dan memperkenalkan gaji minima RM1,200 di bandar besar.

“Kerajaan PH juga telah memperkenalkan dua skim kesihatan yang sangat penting untuk golongan B40 iaitu Skim Perlindungan Kesihatan (PeKa) dan MySalam, iaitu skim insurans yang menyediakan perlindungan untuk 45 penyakit kritikal.

“Pelaburan langsung asing diluluskan juga mencapai tahap paling tinggi dalam sejarah ketika pemerintahan PH, iaitu pada 2019, approved FDI RM82.4 bilion, manakala pelaburan domestik mencecah RM125.5 bilion.

“Bukan itu saja, pelaburan dalam tiga subsektor pemangkin iaitu elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan serta kimia dan dua bidang pertumbuhan tinggi iaitu industri aeroangkasa dan alat perubatan menyaksikan pertumbuhan 90.2 peratus ke RM40.9 bilion pada 2019,” kata beliau.

Justeru, kata Muhammad Faiz, usaha PH mewujudkan persekitaran business friendly telah diiktiraf oleh Bank Dunia, di mana ranking Malaysia dalam indeks Doing Business 2020 telah meningkat kepada kedudukan ke-12 iaitu lebih tinggi berbanding Jerman, Kanada dan Finland.

Katanya, daripada aspek memastikan pengurusan fiskal lebih telus supaya kesilapan ketika pemerintahan BN tidak diulangi, kerajaan PH telah mengemukakan maklumat mengenai hutang yang dijamin kerajaan dan liabiliti kontinjen dalam Laporan Tinjauan Fiskal Negara.

“Selain itu, kerajaan PH menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang turut dianggotai wakil pembangkang untuk menilai belanjawan dan pengurusan kewangan kerajaan.

“Penilaian belanjawan pertengahan tahun turut dibentangkan ke jawatankuasa ini,” ujar beliau.

Selain TH, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu, PH telah mengambil beberapa keputusan strategik untuk memulihkan dan memantapkan institusi lain seperti Khazanah Nasional, Felcra dan FGV Holdings.

Hasilnya, kata beliau, Khazanah Nasional telah mencatatkan untung dari operasi terbesar dalam sejarah pada 2019 sebanyak RM7.4 bilion.

“Usaha telah diambil untuk merombak strategi pelaburan Khazanah Nasional yang sebelum ini berisiko tinggi kerana hampir 80 hingga 85 peratus nilai pelaburan tertumpu pada sembilan hingga 10 syarikat sahaja.

“Bagi Felcra pula, program transformasi perniagaan telah diperkenalkan untuk mengurangkan beban hutang dan kerugian yang dialami oleh institusi tersebut, dan ini dijangka membuahkan hasil bermula tahun 2021.

“Peringkat Felda dan FGV, program transformasi yang bermula pada suku ketiga 2018 telah membantu memantapkan operasi, menamatkan ketirisan dalam pembelian dan memulihkan pendapatan syarikat,” katanya.

Beliau yakin dasar urus tadbir baik, telus, bersih dan cekap yang diperkenalkan PH akan terus membuahkan hasil positif jika inisiatif berkenaan tidak diganggu oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Malah, tegas beliau, institusi penting negara perlu dipertahankan daripada kembali dibelenggu oleh pengurusan yang lemah dan korup sewaktu di bawah BN dahulu.

Namun, ketidakstabilan politik kerajaan PN yang tidak mempunyai mandat yang sah dari rakyat dan hanya memiliki majoriti tipis di Parlimen, tidak mampu menarik keyakinan pelabur yang boleh menjejaskan sektor perniagaan dan pekerjaan dalam negara.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply