Dr M Lepas Jawatan Mei 2020? - Otai Reformis | Malaysia News
September 17, 2024

Dr M Lepas jawatan Mei 2020? – Otai Reformis

Dr M Lepas jawatan Mei 2020? – Otai Reformis

Kuala Lumpur, MTN – Kumpulan aktivis, Otai Reformis berkata tiada yang boleh dibanggakan selepas setahun setengah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memegang kerajaan Pakatan Harapan.

Program bertajuk ‘Dr M Lepas jawatan Mei 2020? itu antara lain dihadiri Pengerusi Otai Reformis, Dr Idris Ahmad, aktivis NGO Kemanusiaan, Mustapa Mansor, dan Ketua Berita Jom Channel, Dr Siti Aina Omar.

Pengerusinya, Idris Ahmad berkata begitu juga dengan prestasi Kabinet yang dipimpin Mahathir.

“Kalau syarikat ada CEO baru, diberi tempoh masa 6 bulan. Ini sudah setahun setengah tak ada tanda-tanda tunjukkan keadaan makin pulih.

“Tentang politik sekarang amat sedih, tengoklah DAP, kenyataan Lim Guan Eng dan Amanah oleh Mohamad Sabu. (Mereka) buat pusingan U sebab apa,” katanya pada program Bual Bicara Bersama Otai Reformis 1998 yang bertajuk “Dr M lepas jawatan Mei 2020?”.

Idris berkata kebanyakan menteri Kabinet “dipegang” Mahathir sehingga tiada yang berani menyuarakan mengenai tarikh peralihan kuasa perdana menteri.

“Style Mahathir biarkan mereka lakukan kesalahan, tetapi fail dia pegang,” katanya.

Menerusi persefahaman pimpinan PH, Anwar Ibrahim akan diangkat sebagai perdana menteri ke-8.

Pada 14 Januari lalu, Mahathir menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan jika presiden parti dalam PH memintanya berbuat demikian.

Tarikh peralihan kuasa Mahathir kepada Anwar terus menjadi perbincangan sejak kebelakangan ini susulan tempoh 2 tahun yang disebut-sebut sebelum ini hampir tamat.

Namun Anwar sebelum ini berkata beliau dijangka mengambil alih jawatan itu daripada Mahathir pada tahun ini namun tidak pasti tarikh yang tepat.

‘ular sawa kenyang’

Sedangkan penulis buku Anwar PM ke-8, Shahbudin Husin mendakwa Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal memutuskan tarikh peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sekiranya Majlis Presiden PH menetapkan tarikh peralihan kuasa, ia tidak menganggu pentadbiran kerajaan.

“Kenapa Majlis Presiden PH boleh berfungsi untuk pilih siapa calon perdana menteri dan pembahagian kerusi tetapi tidak menetapkan tarikh peralihan kuasa.

“Bermula malam ini, kita akan mulakan gerakan untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa seperti mana Mahathir janjikan,” katanya.

Shahbudin berpandangan, tempoh asal yang dinyatakan sebelum ini oleh Dr Mahathir sendiri untuk memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun adalah tempoh yang paling maksimum.

Menurut beliau, Majlis Presiden PH yang dianggotai semua presiden parti dalam gabungan dan Pengerusi Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disifatkan sebagai ‘ular sawa kenyang’ yang tidak dapat berbuat apa-apa.

“Majlis Presiden PH boleh selesaikan banyak masalah dalam PH contohnya boleh selesaikan masalah siapa calon PM sebelum PRU-14 dulu.

“Malah pembahagian kerusi pun boleh diselesaikan tapi soal peralihan kuasa tidak boleh selesai.

“Ada orang kata Ahli Majlis Presiden macam ular sawa kenyang, jadi sudah malas (nak bangkitkan isu peralihan kuasa). Itu tanggapan orang ramai, tapi ia beri kesan buruk kepada PH, ralat lihat seolah-oleh tidak berfungsi,” katanya pada Bual Bicara Bersama Otai Reformis 1998 malam ini.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply