Dr Mahathir: Jumpa Hadi Perkara Biasa | Malaysia News

Dr Mahathir: Jumpa Hadi Perkara Biasa

MTN – Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya bekerjasama bersama sesiapa sahaja, termasuk parti pembangkang, jika ia memberi kebaikan kepada negara.

Perdana Menteri berkata, pertemuan beliau bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, adalah biasa kerana beliau berjumpa banyak pihak termasuk pemimpin pembangkang.

Katanya, pertemuan bersama pemimpin PAS itu dibuat sebelum ini, kerana parti itu bimbang mengenai perkara tertentu berkaitan dasar kerajaan.

“Ya, ada gambar saya bertemu Haji Hadi. Saya berjumpa banyak pihak kerana ini adalah kerja saya, walaupun mereka ini adalah musuh (politik) saya.

“PAS berjumpa saya kerana timbul kebimbangan dan saya jelaskan jika kami melakukan perkara salah, jangan sokong kami di Parlimen.

“Tetapi jika kami melakukan perkara betul, walaupun mereka pembangkang, sila sokong kami demi kebaikan,” katanya.

Sebelum ini, terdapat laporan dan gambar pertemuan antara Dr Mahathir dan Abdul Hadi disiarkan sebuah portal berita yang turut mendakwa akan berlaku kerjasama politik antara kedua-dua mereka.

Dr Mahathir mengakui, ada ketika beliau memerlukan sokongan daripada PAS membabitkan rang undang-undang tertentu.

“Presiden PAS sebelum ini sering kali cakap beliau sokong saya, jadi ini (perjumpaan) bukan benda baru.

“Mereka nak jumpa saya, (jadi) saya jumpa mereka, saya dengar apa yang mereka nak cakap, kebanyakan mereka nyatakan sokongan pada saya, saya ucap terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pembukaan Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa, hari ini.

Facebook Comments