Exclusive Jet – ‘Rombongan Che Kiah’, PM dijangka terus jadi ‘Makanan’ Kemarahan Rakyat
Exclusive Jet – ‘Rombongan Che Kiah’, PM dijangka terus jadi ‘Makanan’ Kemarahan Rakyat
Jet Eksekutif Perdana Menteri Jadi Bas Ekspress
Hari pertama bersama ‘Rombongan Che Kiah’, PM dijangka terus jadi ‘makanan’ kemarahan rakyat
MTN – Semalam, hari pertama Ismail Sabri Yaakob memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri menggantikan Mahiaddin Md Yasin.
Sepatutnya, hari pertama memulakan tugas sebagai ketua kerajaan, satu jawatan yang barangkali tidak pernah diimpikan mampu dipegangnya, ia adalah ibarat malam pertama selepas melangsungkan perkahwinan dengan seorang puteri Raja.
Tentulah yang diharapkan tidak lain melainkan keceriaan, keseronokan dan perkara yang indah-indah belaka.
Malangnya, tidak begitu yang dilalui Ismail Sabri dalam pengalaman hari pertamanya sebagai Perdana Menteri semalam.
Kunjungannya ke Kedah sebagai tanda prihatinnya selaku ketua kerajaan yang baharu untuk meninjau kawasan banjir yang disebabkan fenomena kepala air atau banjir puing dari Gunung Jerai, rupa-rupanya adalah malapetaka buat dirinya dengan jawatan baharu yang disandangnya itu.
Terlalu ghairah
Silapnya dalam hal ini ialah Ismail Sabri sendiri nampaknya terlalu ghairah dengan jawatan baharu yang dipegangnya serta tidak cermat dalam bertindak.
Beliau membawa bersamanya “Rombongan Che Kiah” untuk menaiki jet eksekutif kerajaan yang diperuntukkan kepadanya atas kelayakannya sebagai Perdana Menteri.
Beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen Umno yang sedang melobi jawatan menteri turut bersamanya dalam lawatan itu, selain selebihnya adalah kenalan serta penyokongnya dalam parti itu.
Gambar-gambar yang tersebar luas di media sosial bukan saja menunjukkan peserta “Rombongan Che Kiah” itu sedang bergembira, berfoto sesama sendiri di atas kayangan.
Bahkan, terpapar juga gambar Ismail Sabri sedang dihidangkan makanan ringan. Sementara kebenaran dine in di restoran di atas muka bumi hanya dibenarkan untuk dua orang saja bagi satu meja, mereka di atas kayangan nampaknya boleh duduk berempat dan berapat-rapat tanpa penjarakan fizikal.
Tersebarnya gambar-gambar tersebut beserta pelbagai bentuk kecaman dan kritikan terhadapnya, Ismail Sabri pada hakikatnya telah menjadi “lauk” kemarahan netizen di media sosial sejak semalam hinggalah sekarang.
Harta Umno
Hampir tidak ada yang tidak mengkritik tindakannya membawa ramai pemimpin Umno menaiki jet eksekutif milik kerajaan itu yang sekaligus menampakkan kecenderungan beliau menjadikan harta kerajaan seperti harta Umno.
Baru sehari jadi Perdana Menteri, itu pun sebenarnya Umno tidak menang PRU-14 lalu, perlakuan menjadikan jet eksekutif sebagai tumpangan ramai dan menukarnya menjadi bas ekspress atau bas rapid KL yang bebas dinaiki sesiapa saja benar-benar tidak boleh diterima serta menunjukkan adanya unsur salah guna.
Tiada Perdana Menteri sebelum ini yang menunjukkan perlakuan sebegini kerana semua mereka tahu jet eksekutif berkenaan adalah untuk kemudahan dan kelayakan seorang Perdana Menteri, bukannya untuk penyokong, pelobi jawatan dan pencacai dalam parti menumpang sama nikmatnya.
Bersama kemampuan dan keupayaan Ismail Sabri yang selama ini memang diragui untuk memimpin negara, terutama dalam krisis kesihatan dan ekonomi seperti sekarang, kegelojohan dan tidak cermatnya beliau dalam penggunaan jet eksekutif ini dengan sendirinya menambahkan lagi ketidakyakinan rakyat terhadapnya.
Belasahan Netizen
Sebenci-benci orang kepada Najib Razak dan Mahiaddin sebelum ini, ia tidaklah disebabkan “kepoyoan” membawa kawan-kawan bermeriah jet eksekutif milik kerajaan.
Malah, tidak pernah Perdana Menteri sebelum ini dijadikan “lauk” belasahan netizen pada hari pertama lagi hanya dalam soal-soal yang jelas menggambarkan ketidakmampuan berfikir serta menimbang secara rasional, matang dan waras dalam tindakan yang mahu diambil dalam sesuatu perkara.
Bayangkan, jika jet eksekutif yang hanya untuk kelayakan dirinya sebagai Perdana Menteri pun boleh ditukarnya menjadi bas ekspres untuk mengangkut “Rombongan Che Kiah”, apa yang boleh diharapkan untuk beliau mampu menimbang dalam hal-hal yang lebih besar berkaitan ekonomi, dasar kerajaan dan sebagainya?
Mahu tidak mahu, duduknya Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, dengan perlakuan yang ditunjukkan di hari pertama lagi, sepertinya ini adalah petanda malang buat Umno untuk mendepani PRU-15.
Hari-hari seterusnya pasti lebih banyak lagi kesilapan, kegelojohan dan ketidak-cermatan beliau dalam tindakannya yang akan terus menjadikannya “makanan” untuk dibelasah rakyat dan netizen di media sosial.
Jika kerajaan pimpinan Mahiaddin sebelum ini dibebankan dengan aspek kegagalan yang teruk, khususnya dalam menangani Covid-19, Ismail Sabri pada hari pertamanya lagi telah memperlihatkan beliau adalah pengganti yang lebih teruk berbanding pendahulunya itu.
Dengan itu, rakyat selepas ini bakal menikmati “makanan” yang sedap-sedap setiap hari bersama keinginan yang pastinya lebih tinggi untuk menumbangkan Umno sekali lagi pada PRU akan datang. [Shahbudin Husin]