Filem JanGo Ketengah Bakat Tempatan Ke Peringkat Global | Malaysia News
Notice: sanitize_url is deprecated since version 2.8.0! Use esc_url_raw() instead. in /home/kulf6423/public_html/malaysiatopnews.com/wp-includes/functions.php on line 4652
September 25, 2022
Saraleana Nattaya Azmi

Filem JanGo ketengah bakat tempatan ke peringkat global

Sebuah filem komedi yang mengetengahkan bakat merentas budaya iaitu Melayu dan Cina, JanGo, bakal mengetengahkan filem tempatan ke peringkat global.

Pengasas dan Penerbit Eksekutif Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi, berkata ia adalah peluang untuk menarik perhatian penonton antarabangsa terutamanya di Hong Kong dan China kepada Malaysia.

Jelasnya, idea menghasilkan JanGo dicetuskan dua pelakon utama filem berkenaan, Khir Rahman dan Joey Daud, ketika menjalani penggambaran filem Gadis Jolobu The Movie.

“Saya tanya apa maksud JanGo, ini kerana saya tak melihat program realiti yang pernah mereka sertai.

“JanGo ialah nama kumpulan Khir, Joey dan Vicha, mereka pernah diangkat sebagai juara dalam program realiti tersebut.

“Dari situ kemudian datangnya idea menghasilkan JanGo,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran JanGo, baru-baru ini.

Turur hadir Pengarah Pengeluaran Times Multimedia Innovation Ltd Hong Kong, Tony Leung.

Diarah oleh CL Hor, JanGo (ringkasan untuk Jangan Goyang) itu mula menjalani penggambaran di Lembah Klang, sejak kelmarin.

Peluang tarik pasaran global

Ia mengisahkan dua sahabat karib yang bekerja di ladang durian. Suatu hari, mereka membuat keputusan meninggalkan kampung halaman demi mencari kehidupan lebih baik di kota.

Secara tidak sengaja, mereka ditawarkan dua ketua agensi perisikan untuk menjadi ejen rahsia dan melakukan misi ke China.

Mengulas lanjut, Saraleana berkata, untuk JanGo 1.0, produksinya akan difokuskan di Malaysia sebelum Khir dan Joey akan terbang ke Shanghai, China bagi menjalani penggambaran filem JanGo 2.0.

“Sepatutnya, kami perlu ke China terlebih dulu disebabkan mempunyai pelabur dari China. Namun, kami belum sempat membuat kajian.

“Justeru, kami terpaksa menghasilkan filem JanGo 1.0 di Malaysia,” katanya.

Saraleana berkata, apa yang menarik JanGo juga mengetengahkan beberapa unsur komedi yang dekat dengan budaya Melayu dan Cina di Malaysia.

Menurutnya lagi, mereka teruja untuk menjalin kerjasama dengan syarikat produksi Hong Kong kerana projek itu menonjolkan campuran budaya dalam masyarakat di Malaysia.

“Saya mahu pelakon Malaysia diberi peluang mengetengahkan bakat ke luar negara terutama di Hong Kong dan China.

“JanGo boleh dianggap peluang untuk menarik penonton antarabangsa.

“Dengan pendekatan sebegini, ia membolehkan kita mencapai matlamat membawa karya dari Malaysia ke peringkat global,” katanya.

Mengulas tahap keyakinannya untuk menerbitkan JanGo 2.0 ketika sambutan terhadap filem sulung mereka, Gadis Jolobu The Movie, masih belum pasti, Saraleana percaya gabungan karya komedi dan aksi mampu diterima baik di mana-mana sahaja.

Tambahnya, menerusi filem JanGo, pihaknya mahukan campuran komedi antara Melayu dan Cina.

“Jadi, pelakon Cina yang dipilih dalam filem ini boleh bercakap dalam bahasa Melayu manakala Joey dan Khir pula akan bertutur bahasa Cina.

“JanGo seperti filem Rush Hour yang menggabungkan pelakon Cina dan kulit hitam. Jadi, kami yakin filem JanGo boleh diterima dengan baik,” katanya.

Selain Khir dan Joey, JanGo turut mengetengahkan pelakon Cina yang cukup popular di Singapura, iaitu Zhang Yaodong dan Chris Tong.

Bagi Saraleana, gabungan pelakon juga memainkan peranan penting untuk membawa filem tempatan ke peringkat global.

Malah dia yakin kerjasama empat pelakon terbabit boleh membawa filem JanGo hingga ke peringkat lebih tinggi.

“Kalau hendak bawa karya ke peringkat global, kita tak boleh menggunakan pelakon sama. Perlu campur dan ketengahkan pelbagai pelakon dengan pelakon berpengalaman, ia perlu seiring,” katanya. [MK]

Facebook Comments