Guan Eng: Buktikan Goldman Sachs Tak Menipu | Malaysia News
Lim Guan Eng

Guan Eng: Buktikan Goldman Sachs Tak Menipu

Kuala Lumpur, MTN – Kerajaan perlu membuktikan tidak ditipu oleh Goldman Sachs dalam penyelesaian tuntutan dan pembayaran membabitkan tiga bon yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia susulan tindakan Goldman Sachs yang menyelesaikan tuntutan kepada Kerajaan Malaysia pada harga yang murah iaitu AS$2.5 bilion berbanding AS$7.5 bilion yang dituntut.

Jumlah yang dibayar itu, kata Lim Guan Eng hanya satu per tiga daripada tuntutan asal yang dikemukakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH), dalam pertukaran untuk membatalkan pertuduhan jenayah terhadap bank tersebut dan 17 bekas dan pengarah sedia ada bank tersebut.

PH sebelumnya ini menuntut sejumlah AS$7.5 bilion bagi tiga bon 10 tahun bernilai AS$6.5 bilion diterbitkan Goldman Sachs yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia pada kadar faedah melebihi kadar pasaran, kata bekas Menteri Kewangan itu.

Oleh itu, kata Guan Eng dengan mengabaikan tuntutan sebanyak AS$7.5 bilion dengan menerima hanya AS$3.9 bilion, kerajaan perlu menanggung beban hutang besar 1MDB.

Jumlah hutang 1MDB yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM 31.7 bilion dan sekiranya baki pembayaran faedah hingga 2038 dimasukkan, jumlahnya akan meningkat menjadi RM41.5 bilion.

Angka ini, kata Guan Eng tidak termasuk RM8.9 bilion yang telah dibayar oleh kerajaan, menjadikan jumlah kos 1MDB kepada negara, termasuk faedah hutang 1MDB adalah RM 50.4 bilion.

Namun Tan Sri Muhyiddin mengumumkan Goldman bersetuju untuk menyelesaikan kes itu dengan Kerajaan Malaysia melalui penyelesaian AS$3.9 bilion, sekaligus menunjukkan fakta tidak boleh disembunyikan bahawa sejumlah AS$1.4 bilion bukannya dibayar oleh Goldman Sachs

Sebaliknya AS$1.4 bilion itu diperoleh dari aset-aset 1MDB yang dirampas oleh pelbagai pihak berkuasa dari seluruh dunia.

”Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta pada 28 Julai 2020 oleh Mahkamah Tinggi, setelah mendapati dia bersalah atas semua tujuh tuduhan pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah terhadap kes yang melibatkan dana 1MDB berjumlah RM42 juta yang disimpan dalam akaun peribadinya.

“Seperti Najib, sekiranya Goldman Sachs didapati bersalah, selain penjara, mereka boleh didenda lima kali ganda daripada jumlah yang ditipu,” katanya.

Lantaran itu, Guan Eng menuntut Kerajaan Perikatan Nasional menjawab apakah adil kepada rakyat Malaysia dengan membiarkan Goldman Sachs membayar satu pertiga daripada AS$7.5 bilion sebagai pertukaran untuk membebaskan Goldman Sachs dari semua hukuman jenayah dalam skandal 1MDB membabitkan RM50.4 bilion. [mg]

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •