Hadi Awang Jadi Duta Khas Bertaraf Menteri
Hadi Awang Jadi Duta Khas Bertaraf Menteri
Kerajaan Malaysia hari ini melantik Abdul Hadi Awang sebagai duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.
Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini, pelantikan itu juga meletakkan presiden PAS terbabit sebagai bertaraf menteri.
“Perdana menteri bersetuju melantik Abdul Hadi Awang sebagai duta khas perdana menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri,” kata kenyataan tersebut.
Kenyataan itu antara lain menyebut Abdul Hadi merupakan bekas naib presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia dan pernah menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu pada 1999 hingga 2004.
“Beliau pernah tersenarai sebagai atara 500 muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan pada 2016,” katanya.
Untuk rekod, Abdul Hadi tidak diberikan sebarang portfolio selepas Muhyiddin Yassin bersama sebahagian besar ahli parlimen Bersatu menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional bersama Umno-BN dan PAS.
Pada 10 Mac lalu, anggota parlimen Marang itu berkata beliau tidak dilantik menyertai kabinet agar dapat memantau menteri-menteri PAS yang berada dalam kerajaan.
Sementara itu Abdul Hadi dalam satu kenyataannya mengucapkan penghargaan kepada perdana menteri atas pelantikan sebagai duta khas berkenaan.
“Saya dengan rendah diri mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Insya-Allah saya akan memanfaatkan sedikit pengalaman untuk membantu kerajaan Malaysia memimpin agenda perpaduan ummah dan keamanan sejagat,” katanya.