Hadi Awang: Tak jadi TPM pun tak apa, saya balik jadi nelayan
Hadi Awang: Tak jadi TPM pun tak apa, saya balik jadi nelayan
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengambil sikap terbuka sama ada dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri atau tidak dalam barisan kabinet baharu nanti.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS menyerahkan isu berkenaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk membuat keputusan.
Abdul Hadi berkata, PAS tidak meletakkan syarat atau mewajibkan beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan ini.
“Saya terbuka kepada Perdana Menteri dan tidak mewajibkan saya dipilih (sebagai Timbalan Perdana Menteri). Kalau saya tak dipilih pun tak apa, saya balik jadi nelayan pun tak apa,” katanya dalam nada berseloroh pada sidang media khas di Dewan Masjid Rusila pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Abdul hadi berkata, tidak menjadi masalah jika beliau tidak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana hanya mahu bekerja untuk negara.
“Yang calonkan saya tu rakyat orang biasa. Bukan orang biasa calonkan (Timbalan Perdana Menteri). Biasanya, Perdana Menteri yang tentukan (jawatan Timbalan Perdana Menteri),”katanya
Mengulas mengenai pembentukan kabinet, Abdul Hadi menjelaskan, PAS hanya menyatakan konsep pentadbiran yang diinginkan sahaja, selebihnya diserahkan kepada kebijaksanaan Muhyiddin untuk membuat keputusan.
“Itu PAS serah kepada kebijaksaan Perdana Menteri. (Namun) sudah tentulah akan mengambil kira jumlah kerusi parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional selain Sabah dan Sarawak, yang tidak menyertai perikatan itu.
“Selain itu, turut diambil kira adalah parti mewakili orang bukan Islam dalam Perikatan Nasional walaupun jumlah mereka sendikit. Parti-parti ini kita kena ambil kira,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, anggota kabinet perlu dipilih di kalangan golongan profesional.