India lepasi 18 juta kes Covid-19 dan 3,645 kematian sehari
India lepasi 18 juta kes Covid-19 dan 3,645 kematian sehari
Bengaluru, MTN – Keseluruhan jumlah kes Covid-19 di India sudah melepasi angka 18 juta orang pada Khamis selepas satu lagi ‘rekod dunia’ baharu dicatatkan berhubung jangkitan koronavirus tersebut, sementara pekerja pengurusan mayat bertungkus-lumus sepanjang waktu.
Dalam tempoh 24 jam, India melaporkan sejumlah 379,257 kes baharu Covid-19 dan 3,645 kematian, menurut data Kementerian Kesihatan negara itu. Angka kematian dalam sehari itu adalah yang tertinggi direkodkan setakat ini sejak pandemik bermula.
Reuters melaporkan, kerja mengebumi mayat menjadi rumit, malah banyak upacara pembakaran mayat terpaksa dilakukan di kawasan terbuka seperti di tapak letak kereta dan di taman awam.
Negara yang populasinya kedua tertinggi di dunia itu kini dalam krisis terburuk, apabila keadaan di hospital dan rumah mayat sesak dengan para petugas kesihatan menggunakan sisa tenaga masing-masing untuk berdepan impak pandemik itu.
Seorang penggali kubur di Mumbai, Sayyed Munir Kamruddin berkata, dia dan rakan-rakan sekerjanya tidak henti menjalankan tugas untuk mengebumikan mangsa.
“Saya tidak takut pada Covid-19. Saya bekerja dengan keberanian. Semua ini atas nama keberanian, bukan ketakutan.
“Ini satu-satunya pekerjaan kami – ambil mayat dari ambulans dan mengebumikannya,” ujarnya yang berusia 52 tahun itu. [SH]