Islam Tanpa PAS - Melayu Tanpa UMNO | Malaysia News

Islam tanpa PAS – Melayu tanpa UMNO

UMNO - PAS

Islam tanpa PAS – Melayu tanpa UMNO

Mungkin ada yang terfikir apa yang akan terjadi kepada orang Melayu dan Islam di Malaysia sekiranya parti PAS dan Umno tak wujud? Adakah orang Melayu akan terus dihina atau orang Islam akan terus ke lembah kekafiran? Jawapannya tidak.

Orang Melayu dan Islam akan meneruskan kehidupan mereka seperti biasa tanpa sebarang ketakutan dan keraguan terhadap kaum dan agama yang lain.

Isu perkauman dan keagamaan telah menjadi satu senjata paling ampuh yang digunakan oleh Umno dan PAS terutama sekali jika berlakunya pilihan raya.

Orang Melayu dan Islam yang terancam adalah pemimpin dan ahli parti mereka sendiri apabila kehilangan kuasa dan kedudukan untuk merompak dan menjarah hasil kekayaan negara.

Isu yang melibatkan kaum dan agama ini sangat sensitif untuk disentuh terutama sekali melibatkan kaum Melayu. Mereka akan mudah terpedaya dengan isu yang dimainkan oleh PAS dan Umno yang bertujuan untuk mendapatkan sokongan sedangkan PAS dan Umno juga gagal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang Melayu dan Islam.

Perkara ini dapat dibuktikan apabila orang Melayu masih hidup dalam kemiskinan setelah enam dekad negara kita mencapai kemerdekaan dan selama enam dekat itu juga Umno masih menjadi kerajaan.

Kenapa sehingga ke hari ini pelbagai rancangan telah dirancang, pelbagai kerja telah dirangka tetapi orang Melayu masih miskin? Hal ini berlaku kerana mereka hanya memikirkan soal kuasa dan kedudukan berbanding memikirkan nasib rakyat.

PAS juga dilihat gagal dalam membina sebuah negara yang berlandaskan Islam. Walaupun PAS sekarang merupakan sebahagian daripada kerajaan,tetapi tidak ada kesungguhan untuk melaksanakannya.

RUU 355 atau hudud tidak dilaksanakan, tulisan jawi tidak dimartabatkan, kilang dan minuman arak masih dijual dan cabutan bertuah judi juga ditambah semula setelah dikurangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Adakah ini negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS sejak sekian lama sehingga sanggup mengeluarkan fatwa dan mengkafirkan umat Islam yang lain?

Kita jangan mudah terpengaruh dengan sentimen dan isu perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan sehingga kita buta untuk melihat realiti, pekak untuk menerima kebenaran dan takut untuk melakukan perubahan. Kita perlu berpijak pada bumi yang nyata.

Sekiranya parti politik itu dilabelkan sebagai rasis atau perkauman hanya kerana berlandaskan kaum, maka Umno dan PAS juga dikatakan sebagai parti rasis kerana memperjuangkan nasib satu kaum sahaja. [MK]


MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN ialah timbalan pengarah strategi unit pendidikan Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply